• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Dadah Boleh Musnah Institusi Keluarga

Oleh : Syazwana M.Zohir

KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Masyarakat diperingatkan supaya sentiasa berwaspada dan cakna mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam kehidupan berumahtangga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata pelbagai jenayah boleh timbul berpunca daripada penyalahgunaan dadah.

Jelasnya, statistik menunjukkan bahawa lebih 50 peratus  daripada penghuni penjara di Malaysia disabitkan dengan pertuduhan berkaitan dadah.

“Apa yang menarik perhatian saya ialah bagaimana penyalahgunaan dadah memberi kesan yang negatif kepada rumahtangga sehinggakan ada kes keganasan rumahtangga yang berlaku disebabkan pasangan atau anak-anak mereka terlibat dengan najis dadah.

“Isu ini, saya saksikan sendiri apabila turun berziarah ke rumah-rumah tak kira sama ada di kawasan kampung atau bandar, pasti ada sahaja cerita keganasan dalam perkahwinan disebabkan dadah.

“Apabila terdesak kerana tiada wang untuk mendapatkan bekalan dadah, maka suspek akan mula melakukan tindakan secara luar kawalan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Tambah Zuraida, lebih menyedihkan apabila 80 peratus daripada jumlah penagih di Malaysia berbangsa Melayu dan kebanyakan mereka berasal dari negeri Pulau Pinang, Perlis, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Jika anda salah seorang daripada mangsa keganasan rumahtangga, segera laporkan kepada pihak berkuasa, jangan pendamkan seorang diri.

“Saya suarakan hal ini demi memberi kesedaran kepada rakyat  sempena dengan Hari Sambutan Menentang Penyalahgunaan Dadah hari ini (semalam) ,”ujarnya.