Dakwaan Aksi Tidak Senonoh di Sungai Tarom, PPS Sedia Siasat
Ariss Alias
1 jam yang lepas
31
SETIU, 10 Ogos — Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) Setiu sedia menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku aksi tidak senonoh melibatkan pasangan dalam sebuah kereta di Sungai Tarom yang dikongsikan seorang pengguna Facebook dalam kumpulan Warga Setiu baru-baru ini.
Penolong Pegawai Agama Daerah (Pembangunan Keluarga dan Penguatkuasaan) Pejabat Agama Daerah Setiu, Maryam Abdul Ghani berkata sekiranya dakwaan itu disahkan dan melibatkan individu Islam, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 31 (khalwat) dan Seksyen 34 (perbuatan atau kelakuan tidak sopan di tempat awam) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

"Menurut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Terengganu, pihak yang mempunyai kuasa untuk menjalankan tangkapan ialah Pegawai Penguatkuasa Syariah dan Pegawai Polis.
"Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengalu-alukan kerjasama orang ramai dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar dengan menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan syariah melalui saluran rasmi," katanya.
Maryam berkata orang ramai boleh membuat aduan dengan hadir ke Pejabat Agama Daerah atau Unit Penguatkuasaan, selain menghubungi hotline PPS Setiu di 019-9170334 atau 019-9840334.
Katanya, maklumat seperti lokasi, tarikh dan masa kejadian, gambaran individu terbabit serta bentuk perlakuan yang dilihat amat membantu pihak penguat kuasa menjalankan semakan dan siasatan.
"Jika ada, pengadu juga boleh mengemukakan bukti seperti gambar, video atau maklumat saksi bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata JHEAT sentiasa mengambil serius aduan berkaitan perlakuan tidak bermoral dan akan meningkatkan pemantauan serta operasi pencegahan berdasarkan maklumat, aduan dan penilaian risiko, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot.
Maryam turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga batas pergaulan, aurat dan tingkah laku ketika berada di tempat awam serta menyalurkan sebarang dakwaan kesalahan syariah melalui saluran rasmi.