• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Dakwaan Kerajaan Berdiam Tentang Aduan Hakisan Tebing Tidak Benar

KUALA TERENGGANU, 15 September – Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said bahawa kerajaan negeri mendiamkan diri dan memandang enteng tentang aduan hakisan tebing sungai sehingga menyebabkan paip pecah adalah tidak benar. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr. Mamad Puteh berkata, sebaliknya kerajaan melalui beberapa agensi telah melakukan beberapa langkah bagi menyelesaikan masalah terbabit.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu melalui surat bertarikh 22 Oktober 2020 telah mengeluarkan sepucuk surat kepada Unit Perancang Ekonomi dan Pejabat Tanah Kuala Terengganu memaklumkan berkaitan aduan yang diterima.

“JPS telah menjalankan siasatan ke rumah pengadu pada 11 Oktober 2020 dan hasil siasatan telah dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Penggulungan Ke Atas Perutusan Sultan Terengganu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini.

Menurut Dr Mamad, siasatan mendapati pengusaha pasir telah menjalankan operasi pengambilan pasir di Kampung Bukit Datu sejak tahun 2016.

“Di samping tiada penandaan boya pada tapak sedutan pasirdan hakisan tebing sungai yang terjadi adalah antara 1 hingga 3 meter iaitu di kawasan Kampung Pulau Sekati,” jelasnya.

Oleh yang demikian tegasnya, Pejabat Tanah Kuala Terengganu telah mengambil tindakan dengan tidak mengeluarkan doket (dokumen barangan) kepada pengusaha berdasarkan surat aduan daripada JPS.

“Sehubungan dengan itu, pengusaha telah menjalankan kerja-kerja pengukuran dan penandaan tapak sebagaimana yang telah ditetapkan. 

“JPS Negeri melalui surat bertarikh 25 November 2020 telah memberikan maklumbalas bahawa tiada tegahan dan berpuashati dengan tindakan yang telah dilaksanakan oleh pengusaha setelah lawatan tapak dibuat bersama pengusaha pada 17 November 2020,” tambah beliau.


Tag: