• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Dakwaan 'Maju, Berkat, Sejahtera' Tiada Pencapaian, Tidak Berasas

KUALA TERENGGANU, 19 September - Dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan ini tidak mencapai apa-apa melalui Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera (TMBS) ternyata tidak berasas kerana usaha-usaha dilakukan pada waktu ini sudah meraih beberapa pencapaian membanggakan.

Pengerusi Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kemajuan bukan diukur dengan berdirinya bangunan besar dan tersergam indah melalui projek-projek berskala mega semata-mata, sebaliknya aspek tersebut perlu difahami secara menyeluruh termasuk membangunkan modal insan

Katanya, antara kemajuan yang telah dicapai ialah wujudnya sekolah baharu, menaik taraf Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menjadi Kolej Universiti dan pembukaan Pusat Pemulihan Dadah Secara Holistik yang dimiliki oleh kerajaan sendiri.

"Sebelum ini tidak ada pun institusi tersebut dimiliki sendiri kerajaan negeri, apabila kita memerintah kita wujudkan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Darul Iman (SMIDI) adakah ini menunjukkan kita mundur.

"Jika sebelum ini kita ada Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) kemudiannya dijadikan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terkini Kita dalam proses untuk mengangkat Kolej al-Quran Terengganu menjadi sebuah kolej univerisiti, kalau hendak dikira itulah kemajuan kita bawa.

"Begitu juga kejayaan kita membuka pusat pemulihan dadah secara holistik yang kita namakan sebagai Perkampungan Darul Barakah yang kita uruskan sendiri yang mendapat sambutan yang baik. Kejayaan yang kita ada pada hari ini tidak pernah dilakukan lagi oleh kerajaan sebelum ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian,ketika berucap pada Ceramah Khas Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Facebook Harap TV, kelmarin.

Mohd Nor berkata dari aspek keberkatan pula katanya, kerajaan sentiasa memberi fokus dalam mendidik rakyat dalam mengahayati ajaran Islam agar dijadikan panduan dalam kehidupan.

"Kita tanamkan pada setiap minggu dengan melakukan Program Munajat Rakyat mengajak rakyat untuk bangkit dan ingat kepada Allah terutamanya dalam menghadapi situasi pandemik pada waktu ini.

"Dari sudut kesejahteraan pula kita sentiasa berharap dan berdoa agar dijauhi wabak ini. Alhamdulillah Terengganu telah masuk fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan usaha-usaha yang kita lakukan.

"Dalam masa yang sama membuktikan bahawa kita betul-betul mencaknai rakyat dimana dalam waktu ini kerajaan telah memberi peruntukkan melalui Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) untuk membantu golongan yang terjejas daripada kalangan rakyat dan  turut mencaknai seramai 10,222 orang pengiat industri yang terjejas.

"Melibatkan pengusaha penarik beca, bot penambang, pemandu teksi 'airport', malim gunung, pengusaha Tasik Kenyir, dan pemandu pelancong dalam peruntukkan keseluruhan RM373,400," ujarnya.

Katanya, kerajaan akan terus mencapai kemajuan menerusi pelbagai agenda dan setiap perancangan yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat di negeri ini, termasuk memastikan seramai mungkin penduduk di negeri ini berupaya memiliki rumah melalui Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat Terengganu.

 

 

 

 


Tag: