• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Dalami Ilmu Hartanah Elak Penipuan

Dr Alias  Razak ketika merasmikan Seminar Cakna Hartanah Terengganu 2018 di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).
KUALA TERENGGANU - Kes penipuan jual beli hartanah yang mencatatkan peningkatan dalam tempoh kebelakangan ini, memerlukan orang ramai supaya lebih berhati-hati semasa membeli hartanah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kebanyakannya ingin memiliki hartanah tetapi tidak tahu bagaimana cara sebenar dan lebih selamat bagi menjamin pelaburan mereka itu tidak mendatangkan kerugian puluhan ribu ringgit.

Tambahnya, perkara ini boleh dilakukan sekiranya mereka mempunyai ilmu dalam bidang tersebut dan ia perlu dipelajari kerana ilmu tidak akan datang bergolek.

"Ilmu hartanah sangat penting kerana pihak kami sering mendapat aduan bila mereka membeli hartanah samada rumah atau tanah. Kecuaian sering berlaku dari segi meneliti perjanjian-perjanjian yang ditandatangani.

"Kecuaian ini menyebabkan mereka terperangkap dan pelaburan ataupun wang yang telah dibelanjakan untuk mendapatkan aset yang ingin dimiliki hilang begitu sahaja," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Cakna Hartanah Terengganu 2018 di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU), Padang Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini (13 Oktober).

Turut hadir, Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia, Datuk Nazri Mustafa, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Terengganu, Zainal Abidin Mohamed dan Pejuang Hartanah Malaysia, Ahyat Ishak.


Katanya lagi, rakyat Terengganu perlu mengambil peluang untuk menambahkan ilmu dalam bidang pemilikan hartanah melalui seminar-seminar yang diadakan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam sektor ini.

"Malah mereka perlu berani menceburi bidang ini tetapi perlu ingat bahawa berani tanpa ilmu, mudah tertipu dan yang paling penting kita perlu pastikan kewangan yang dilaburkan tidak lebur begitu sahaja," ujar Alias.

Tag: