• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Damar Hitam Ditemui Semula Di Lata Tembakah

 

Oleh : Suriati Ali

BESUT, 24 Ogos - Shorea kuantanensis atau Damar hitam merupakan spesies endemik di semenanjung yang kebanyakkannya boleh ditemui di kawasan Hutan Dipterokarpa Tanah Pamah kini dijumpai semula di Lata Tembakah di sini.

Ketua Pengarah Perhutanan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Dato’ Mohd Ridza Awang berkata, pada asalnya spesies Shorea kuantanensis telah direkodkan hanya ditemui di hutan Simpan Bukit Goh, Kuantan Pahang pada tahun 1936.

“Jurnal berkaitan spesies tersebut telah dihasilkan oleh Profesor Peter Ashton pada tahun 1978 di dalam Garden Bulletin Singapore Volume 31, Part 1:41.

“Spesies berkenaan telah dilaporkan pupus pada tahun 2010 menerusi Research Pamphlet No.129, Malaysia Plant Red List Peninsular Malaysia Dipterocarpaceae akibat pertukaran status guna tanah kawasan Hutan Simpan Bukit Goh kepada ladang sawit.

“Namun, pada tahun 2014 spesies tersebut ditemui semula di Taman Eko Rimba, Lata Tembakah, Kompartmen 47, Hutan Simpan Pelagat, Besut oleh Mohd Nasir Mohd dan Salleh Endut yang merupakan pegawai yang bertugas di JPSM,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media penemuan semula pokok Shorea kuantanensis yang dianggap pupus di Malaysia di Taman Eko Rimba, Lata Tembakah, hari ini.

Mohd Ridza (berbaju biru).

Mohd Ridza berkata, penemuan semula itu telah dipanjangkan kepada Profesor Peter Ashton dan beliau mengesahkan spesimen yang ditemui di Taman Eko Romba berkenaan sama dengan Damar hitam yang dilaporkan pupus di Hutan Simpan Bukit Goh.

“Penemuan semula pokok Shorea kuantanensis juga telah mendapat pengesahan dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia menerusi artikel dalam A Bulletin Supporting Plant and Animal Conservation in Malaysia, Issue No 31 (2020).

“Terkini, hasil bancian terhadap tiga batang pokok tersebut telah merekodkan saiz ukuran diameter paras dada diantara 28.0 cm hingga 75.6 cm,” ujarnya.

Katanya, susulan penemuan itu JPSM dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu telah mengambil langkah pemeliharaan dan pemuliharaan spesies Damar hitam ini secara in-situ dan ex-situ dengan penubuhan petak hutan yang mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi atau 'High Conservation Value Forest' (HCVF) di Kompartmen 47, Hutan Simpan Pelagat, Besut.

“Penubuhan petak HCVF ini akan dapat memastikan Shorea kuantanensis dapat diurus dan dipulihara secara efektif bagi mengelakkan kepupusannya,” ujar beliau.

Selain itu katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menerusi pengagihan anak benih Damar hitam untuk ditanam di kawasan bersesuaian sekitar daerah Kuantan.


Tag: