• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Dana Khas Galak Industri Hiliran Getah Ambil Pekerja Tempatan

KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Majlis Getah Malaysia (MRC) akan menubuhkan dana khas berjumlah RM36 juta bagi menggalakkan industri hiliran terutamanya sektor pengeluaran sarung tangan getah mengambil lebih ramai pekerja tempatan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penubuhan dana itu adalah sejajar dengan dasar baharu kerajaan yang mengutamakan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Kita sediakan subsidi upah sebanyak RM300 untuk seorang warga tempatan bagi tempoh 12 bulan, yang diambil bekerja di dalam sektor hiliran ini.

"Kita harap dengan dana ini kita berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada 10,000 rakyat Malaysia bagi menggantikan 10,000 warga asing yang bekerja di sektor hiliran getah terutama untuk sarung tangan getah," katanya.

MRC adalah agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang bertanggungjawab untuk mempromosikan produk getah berkualiti Malaysia di pasaran dunia, khususnya bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana.

Dana berkenaan menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 10,000 pekerja tempatan dalam lebih daripada 200 buah syarikat di sektor industri getah.

Dana khas itu akan dibuka kepada syarikat pembuatan berasaskan getah untuk menggiatkan lagi pengambilan pekerja tempatan mulai Ogos 2020 sehingga Disember 2021.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, MRC telah dijenamakan semula daripada Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia bagi mencerminkan peranan agensi yang lebih luas dalam pembangunan industri hiliran berasaskan getah, modal insan dan adaptasi teknologi termaju serta promosi pelaburan industri getah negara.

"Kita komited untuk memperkasakan lagi MRC menerusi satu projek yang boleh meningkatkan kepenggunaan getah dalam negara kita sendiri dan memperkasakan industri tayar di pasaran Malaysia. Industri tayar ini sangat berdaya saing, yang mana, ia bernilai AS$66.6 bilion (RM281.4 bilion) di pasaran global.

"Secara umumnya, Malaysia mengeksport sebanyak AS$300 juta (RM1.27 bilion) sedangkan nilai import kita adalah AS$600 juta (RM2.5 bilion). Ini ketidakseimbangan yang harus kita betulkan dan kita melihat pemerkasaan industri tayar, boleh menyeimbangkan nilai import dan eksport industri tayar negara," tambahnya.

MRC akan mengukuhkan hubungan dengan organisasi pembangunan antarabangsa untuk meningkatkan hubungan dagang bagi industri getah negara, katanya.

Ketika ini, Malaysia menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia dan dijangka akan terus kekal sebagai pengeluar utama berikutan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan getah perubatan. - BERNAMA


Tag: