• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Dana Raya Untuk Semua Yang Layak, Tak Kira Parti- Ahmad Razif


Pengerusi  Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) diingatkan lebih telus dalam pengagihan bantuan Dana Raya kepada semua pemohon yang layak tanpa mengira parti politik.

Permohonan bantuan akan dibuka sepanjang sebulan bermula 1 April ini dan pengagihan dijangka akan dibuat bermula awal Ramadan iaitu pertengahan Mei nanti.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, semua J3K  perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan sesiapa sahaja yang layak tidak terkecuali daripada mendapat bantuan itu.

"Saya berpesan kepada semua Pengerusi J3K supaya jangan memilih orang (parti yang disokong). Jika mereka layak, kita perlu sokong dan luluskan bantuan ini.

"Sudah menjadi hasrat kerajaan negeri membantu semua yang tidak berkemampuan. Bukan soal dia sokong (kerajaan) atau tidak," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu berkata demikian ketika berucap di Majlis Pertemuan bersama J3K, Guru-Guru & PIBG Daerah  di Dewan Majlis Daerah Marang Kampung Paya, Marang, hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Marang, A. Latiff Awang.

Ahmad Razif turut berkata, mereka yang mendapat manfaat dari bantuan itu namun tidak menyokong kerajaan diharap akan beroleh hidayah satu masa nanti.

Beliau juga mengingatkan J3K supaya lebih adil dan tidak sewenang-wenangnya menyokong permohonan di kalangan keluarga sendiri yang tidak menepati syarat terutama berpendapatan besar.

Dalam pembentangan bajet 2018 pada Disember lalu, kerajaan negeri melonggarkan syarat kelayakan untuk pendapatan bagi penerima Dana Raya dan Dana Bakti Remaja bermula tahun ini.

Menteri Besar berkata, syarat pendapatan isi rumah bagi dana raya akan dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM3,000 manakala bagi dana bakti remaja dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM2,000.

“Dengan kenaikan syarat pendapatan ini, bilangan penerima dana raya dianggarkan meningkat daripada 240,294 kepada 264,294 orang menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM99 juta.

“Manakala bagi pemberian Dana Bakti Remaja, jumlah peruntukan meningkat daripada RM22.7 juta kepada RM27 juta,” katanya.

Tag: