• 28 Jul 2021 | 18 Zulhijah 1442

Dapur Rakyat Dinikmati Warga Air Putih

KEMAMAN, 21 November - Sebanyak 280 bekas gulai daging telah berjaya diagihkan kepada penduduk Kampung Seberang Tayor Hulu dan Hilir di dalam Program Dapur Rakyat baru-baru ini. ADUN Air Putih, Ab.Razak Ibrahim telah menyumbangkan seekor lembu bagi menjayakan program tersebut.

Bermula seawal 8.00 pagi di hadapan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Ab.Razak sendiri telah turun padang menyembelih lembu. Proses melapah dan memasak gulai daging  dilakukan secara bergotong- royong oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Tayor Hulu dan Hilir bekerjasama dengan AJK PAS Cawangan Seberang Tayor.

Gulai daging yang siap dimasak kemudiannya dibungkus dan diagihkan dari rumah ke rumah penduduk kampung selepas Solat Jumaat. Rata-rata penerima bungkusan gulai daging berasa gembira dan berterima kasih di atas agihan tersebut.

Menurut Ab.Razak, program Dapur Rakyat merupakan antara program ADUN Air Putih yang akan berlangsung di beberapa buah kampung di sekitar Dun Air Putih mengikut jadual yang diatur bagi meraikan masyarakat setempat.

“Saya  berharap dengan pemberian ini warga Air Putih dapat menikmati gulai daging serta sedikit sebanyak meringankan beban keluarga ibu tunggal dan fakir miskin," ujar beliau.


Tag: