• 22 Jan 2021 | 8 Jamadil Akhir 1442

Dapur Rakyat Ringan Beban Mangsa Banjir

KEMAMAN, 1 Disember - Program Dapur Rakyat yang diusahakan kerajaan negeri berjaya meringankan beban mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim yang mengambil inisiatif dan bertindak cepat bagi membantu mangsa banjir.

"Saya difahamkan lebih RM5,000 dibelanjakan bagi menyediakan makan tengah hari untuk diagihkan kepada mangsa banjir, semalam. Setiap rumah di Kampung Teladas dan Kampung Air Putih menerima lima bungkus nasi putih berlauk gulai daging.

"Ia diadakan bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas teruk dan masih belum sempat untuk memasak. Kebanyakan daripada mereka terpaksa menumpukan pada proses membersihkan rumah. Insya-Allah, hari ini pula sekali lagi kita akan adakan dapur rakyat ini dan akan diagihkan kepada mangsa banjir di Felda Seberang Tayor.

"Mereka yang terjejas juga menerima sumbangan beras dan barangan dapur. Segala bentuk bantuan dan sumbangan akan disalurkan secara berperingkat mengikut keadaan dan situasi semasa," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hanafiah turut melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada semua pihak termasuk seluruh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) ataupun sebagainya yang turut sama menyumbang sama ada berbentuk tenaga, barangan ataupun kewangan.

"Namun begitu, cuaca masih tidak menentu. Saya mengharapkan semua pihak terus berada dalam siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin boleh berlaku di musim tengkujuh ini," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Terengganu.

 

 

 


Tag: