• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Darul Huffaz Pelawa Pelajar Madrasah Duduki SPM

KUALA TERENGGANU, 11 November - Darul Huffaz TATI Skill (DHTS) di bawah kelolaan Pusat Latihan Kemahiran TATI Sdn Bhd (PLKT) mempelawa pelajar lepasan madrasah dan maahad tahfiz di seluruh negara mengikuti Program Fast Track SPM di institusi itu bagi sesi pembelajaran Januari tahun depan.

Syarat kelayakan terbuka kepada pelajar lelaki dan perempuan yang belum pernah menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, pelajar mestilah anak jati Terengganu, berumur sekurang-kurangnya 17 tahun ke atas, perlu menghafaz lima juzuk al-Quran bagi pelajar tahfiz, lulus ujian bertulis dan temuduga.

Pengurus Besar PLKT Dr Mohd Najib Mohamed berkata, DHTS yang ditubuhkan pada Oktober 2018 menawarkan mata pelajaran teras sama seperti aliran sekolah arus perdana selain memfokuskan subjek matematik tambahan.

“Seramai 20  tenaga pengajar berpengalaman dan profesional sedang berkhidmat dan jumlah itu akan bertambah mengikut keperluan semasa dan jumlah pelajar.

“Istimewanya program yang dicetuskan oleh Rektor Kolej Universiti TATI (UC TATI), Prof Dr Anuar Ahmad itu ia akan ditanggung 100 peratus oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu bagi anak jati Terengganu.

“Manakala bagi pelajar luar Terengganu, dikenakan yuran sebanyak RM750 sebulan termasuk kos penginapan, makanan dan minuman,” katanya Urusetia Penerangan Darul Iman.

Katanya, pelajar hanya perlu mengambil masa setahun  berbanding dua tahun di  sekolah menengah  aliran perdana (Tingkatan 4 Dan Tingkatan 5) sebelum dibenarkan menduduki SPM.

“Pada masa sama mendapat laluan mudah untuk menyambung pengajian di  UC  TATI dan turut mendapat perhatian beberapa Universiti Pergajian Tinggi Awam lain.

“Urusan peperiksaan SPM diselia penuh oleh DHTS dan program tasmik berterusan dipantau oleh tenaga pengajar tasmik,” katanya.

DHTS yang bertempat Jalan Panchor, Teluk Kalong, Kemaman memulakan sesi pembelajaran pertama pada Januari 2019 dengan pengambilan 67 pelajar.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi  010-9211245 atau layari facebook Darul Huffaz Tati Skills.

 


Tag: