KUALA NERUS, 3 Oktober - Dasar Wanita Terengganu yang dilancarkan pada sambutan Hari Sayyidatina Aishah bakal memperkasa kaum wanita dengan ilmu dan menjamin hak mereka dilindungi.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, dasar itu digubal untuk memelihara, melindungi, memperkasa dan membangunkan wanita.
"Ia dirangka berpandukan syariat Islam dengan mengambil kira Perlembagaan Persekutuan, perundangan sedia
ada, adat resam dan budaya rakyat Terengganu, Dasar Wanita Negara dan dasar-dasar berkaitan, serta ratifikasi.
"Dan reservasi Kerajaan Malaysia terhadap prinsip dan pendekatan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW)," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Hari Sayyidatina Aishah dan Pelancaran Dasar Wanita negeri Terengganu yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus baru-baru ini.
Menurutnya, penglibatan kaum wanita dalam sektor pekerjaan telah terbukti memberi impak positif kepada pembangunan insitusi rumah tangga, sosial dan negara.
"Masih kedengaran seruan untuk membatasi skop kerjaya wanita hanya pada pendidikan anak dan pengurusan rumah tangga semata-mata.
"Lebih-lebih lagi, wanita yang tidak keluar rumah dianggap lebih islamik berbanding mereka yang terlibat dalam dunia pekerjaan,"ujarnya.
Justeru itu, beliau menyeru semua agensi di seluruh peringkat pentadbiran Negeri Terengganu, Badan Bukan Kerajaan (NGO-NGO), serta GLC agar memberi kerjasama dan sokongan sepenuhnya dalam melaksanakan Dasar Wanita Terengganu.