• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

'Datuk Pendorong Keberanian’

KUALA NERUS, 29 Julai - Seorang anak muda yang juga penyembelih haiwan korban mengakui keberaniannya untuk menceburi bidang sembelihan itu didorong datuknya.

Haziq Fakhruddin Hamzah, 26 berkata, dia mula menyembelih binatang korban pada usia 23 tahun dan menganggap ia sebagai pengalaman berharga.

“Saya mula terlibat dalam kerja melapah dan urusan sembelihan binatang ini sejak di bangku sekolah rendah lagi kerana saya sering mengikuti bapa saudara saya, Yusof Mohamad yang juga seorang penternak lembu serta kerbau, juga merupakan peraih daging.

“Kemudian, saya mula menganjurkan program ibadah korban di kediaman bapa saya di Kampung Sungai Ikan, Tepoh, pada usia 15 tahun lagi dengan dibantu oleh lima orang adik beradik saya yang lelaki. 

“Alhamdulillah, sudah lebih 10 tahun saya terlibat dalam kerja-kerja menyembelih binatang korban,” jelasnya ketika Program Ibadah Korban di Kampung Sungai Ikan pada Aidiladha lalu.

Dia yang juga Penolong Jurutera di sebuah syarikat swasta berkata, keberanian dan ilmu yang mencukupi perlu ada pada seorang tukang sembelih bagi memastikan ibadah korban dapat dijalankan dengan sempurna. 

“Antara individu yang sentiasa mendorong dan berkongsi ilmu ialah datuk dan bapa saudaranya sendiri. Kedua-duanya sering  memberi galakan, semangat dan berkongsi pelbagai teknik dan kaedah yang yang boleh digunakan ketika sembelihan,” ujarnya. 

Terdahulu, melalui satu hantaran di laman sosial, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim teruja apabila golongan muda mula menunjukkan minat terhadap aktiviti kemasyarakatan dan boleh menjadi pelapis dimasa akan datang. 

“Saya juga minta supaya generasi anak-anak muda ini bersiap sedia untuk memiliki keupayaan memandikan jenazah, menjadi Imam solat jenazah dan boleh membaca doa atau talkin di tanah perkuburan. 

“Insya-Allah kita bina satu peringkat demi satu peringkat. Yang penting, ada kemahuan,” tambah beliau.


Tag: