• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Dedak Isirung Sawit Jimat Kos Industri Ternakan

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Dedak isirung sawit (PKC) mempunyai potensi besar untuk dimajukan dan digunakan secara meluas dalam industri makanan haiwan memandangkan kelebihannya dari sudut kandungan nutrien dan kos yang kompetitif.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam penyediaan makanan haiwan, kos penggunaan PKC berbanding rumusan konvensional mampu dijimatkan sebanyak 15.42 peratus dengan nilai RM83.75 juta bagi sektor ruminan dan 22.53 peratus dengan nilai RM182.18 juta bagi sektor unggas pada 2019.

Menurut beliau, kelebihan tersebut adalah dari sudut penjimatan kos yang dijangka akan melonjakkan industri ternakan negara.

“Dalam hal ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sedang menyediakan Dasar Penggunaan PKC sebagai langkah untuk memastikan industri tersebut berkembang selain bagi menjamin bekalan berkenaan di dalam negara. Dasar ini juga penting bagi memastikan kawal selia PKC dari sudut pengeluaran dan penggunaannya adalah stabil.

“Untuk itu, satu mekanisme berdasarkan kuota bagi tujuan eksport akan diperkenalkan bagi menjamin produk ini sentiasa terdapat di pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan media.

Mohd Khairuddin menambah, pasaran Malaysia hanya memerlukan bekalan PKC sebanyak 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluarannya.

Beliau memberitahu, sehingga Jun 2020, pengeluaran PKC adalah sebanyak 1,165,588 tan dinggarkan bernilai RM686.7 juta berdasarkan harga purata selama enam bulan iaitu RM556 setiap tan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,199,912 tan PKC bernilai RM667.8 juta telah dieksport antaranya ke New Zealand, Pakistan, Korea Selatan, China, Arab Saudi, Australia dan lain-lain negara,” jelasnya.

Mohd Khairuddin berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan terus menguar-uarkan secara meluas tentang kelebihan PKC dalam penyediaan makanan haiwan terutamanya kepada penternak ruminan.

Beliau menjelaskan, kementerian melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan bekerjasama dengan MARDI dan lain-lain agensi berkaitan untuk melaksanakan promosi bagi meningkatkan permintaan PKC.

“Selain itu, MPOB dengan kerjasama pihak swasta juga telah membangunkan PKC Premium (PURAFEX) yang terhasil dengan menggunakan PURAFEX sebagai bahan asas sesuai sebagai makanan kepada ayam dan itik,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, PURAFEX yang dihasilkan menggunakan PKC mempunyai kandungan nutrisi tinggi selain tawaran pilihan harga yang lebih murah. Ia dapat dihadam bukan sahaja oleh haiwan ruminan malah boleh dimakan oleh unggas selain dapat mengurangkan kebergantungan bahan asas import seperti jagung dan soya. - PNBBC Portal


Tag: