• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Dekatkan Diri Dengan Allah, Resepi Kejayaan Pelajar Cemerlang STPM

Mohamad Salman mendapat ciuman daripada ibu tersayang selepas diumumkan sebagai salah seorang daripada sepuluh pelajar terbaik STPM 2019 Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman hari ini.
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Jaga hubungan dengan Allah dan banyakkan berdoa merupakan kunci kejayaan Muhamad Salman Hakim Mahayadin, 20, yang berjaya mendapat keputusan 4A dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019.

Katanya, amalan yang dilakukan secara ikhlas setiap hari itu memudahkan beliau belajar dan mengulang kaji pelajaran sehinggalah mencapai kejayaan dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Ditanya apakah petua yang diamalkan untuk lebih fokus semasa belajar, Salman berkata, tiada petua yang diamalkan kecuali memberi tumpuan lebih ketika guru mengajar.

“Biasanya saya akan memberi keseluruhan fokus kepada sesi pembelajaran dalam kelas dan akan membuat latihan tambahan di rumah.

“Bukan mudah nak korbankan masa untuk berjaya tapi saya kuatkan semangat dengan berusaha setiap masa untuk capai kejayaan selepas merasai kecewa kerana mendapat keputusan kurang memberangsangkan untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), ” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman hari ini.

Salman antara sepuluh pelajar cemerlang SMK Sultan Sulaiman yang mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 yang diumumkan hari ini.

Anak keempat  daripada lima orang adik-beradik itu menganggap kejayaannya juga hasil titik peluh ibunya yang banyak membantu menyara mereka sekeluarga selepas ketiadaan bapanya.

Salman berkata, dia berazam memperbaiki nasib keluarga selepas melihat susah payah ibunya yang terpaksa keluar awal pagi mencari rezeki dengan bekerja sebagai pengamal urutan melayu tradisional.

“Ibu saya bekerja sebagai tukang urut dan dialah yang bertungkus-lumus untuk memastikan kami dapat bersekolah dengan sebaiknya selepas kematian ayah pada tahun 2016.

“Berbekalkan azam yang kuat dan kata-kata semangat ibu serta guru, saya cuba bangkit dan buat yang terbaik sehingga memperoleh kejayaan ini dan ia merupakan hadiah istimewa buat ibu saya yang menjadi tonggak dalam kehidupan.

 “Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi saya mahu kongsikan kegembiraan ini bersama ibu dan ahli keluarga yang banyak memberi sokongan dan bantuan sepanjang persekolahan saya,” katanya yang bercita-cita mengambil jurusan ekonomi di Universiti Malaya.

Bagi ibunya, Mazini Abdullah, 56, segala pengorbanan terdahulu akhirnya berbaloi dan beliau cukup teruja dengan kejayaan anaknya itu.

“Saya jaga segala keperluan dan pemakanan dia sejak lahir kerana ketika dilahirkan, Salman anak pramatang, jadi memang perlu jagaan rapi.

“Dia anak yang baik, tak melawan dan kebiasaannya saya bekalkan air solat hajat dan bacaan Yasin sebagai air minuman,” kata ibunya.


Tag: