• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Demam Denggi Di Terengganu Catat Penurunan

 

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober – Kebanyakan daerah di Terengganu mencatat penurunan kes demam denggi, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sebanyak 349 kes demam denggi direkodkan setakat 17 Oktober lepas, iaitu penurunan 30.2 peratus (151 kes) berbanding 500 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Daerah yang mencatatkan bilangan kes denggi tertinggi merupakan daerah Kuala Terengganu (192 kes) diikuti dengan daerah Kuala Nerus (52 kes), Kemaman (26 kes), Dungun (25 kes), Besut (24 kes), Marang (15 kes), Hulu Terengganu (10 kes), dan Setiu (5 kes).

“Semua daerah menunjukkan penurunan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 dan sehingga 17 Oktober 2020, tiada kes kematian denggi yang dilaporkan di negeri ini.

“Sebanyak 21 episod wabak telah berlaku di  Terengganu sehingga 17 Oktober  iaitu 17 episod di daerah Kuala Terengganu, dua  episod di daerah Hulu Terengganu, satu  episod di daerah Kuala Nerus dan satu  di daerah Dungun.Sementara itu, satu  wabak aktif dilaporkan di Kompleks Perdana, PDRM, Dungun,”katanya.

Justeru itu, Dr Nor Azimi turut menasihatkan orang ramai supaya meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes (bekas menakung air) di dalam dan di luar rumah masing-masing serta di tempat kerja.

Katanya, ini merupakan antara langkah-langkah pencegahan demam denggi yang perlu diperkasakan untuk menurunkan kadar jangkitan denggi.

Beliau juga meminta masyarakat melakukan semburan untuk membunuh nyamuk terutama pada awal pagi dan lewat petang termasuk mengurangkan aktiviti di luar rumah pada waktu berkenaan untuk mengelakkan digigit nyamuk.

“Orang ramai dinasihatkan segera ke klinik berdekatan jika mempunyai simptom demam denggi,”ujarnya.