Oleh: Fatimah Din
Foto: Amirul Aizab Mohd
MARANG, 9 Ogos – Keenakan durian dari Mizi Agrofarm bukan sahaja menjadi tarikan peminat tempatan, malah pelancong dari Amerika Syarikat (USA) dan Korea Selatan sanggup datang semata-mata untuk menikmati raja buah itu.
Pengusaha Mizi Agrofarm, Mohd Tarmizi Mamat, 38, berkata kehadiran pelanggan antarabangsa itu merupakan antara pengalaman paling membanggakan sepanjang beliau mengusahakan kebun durian sejak tahun 2019.
"Antara pelanggan paling jauh yang pernah datang ialah dari USA dan Korea, mereka mengetahui mengenai Mizi Agrofarm selepas menonton video di TikTok.
"Kebetulan mereka datang bercuti di Malaysia dan memang merancang untuk singgah ke sini bagi menikmati durian kampung," katanya ketika ditemui di dusun duriannya yang terletak di Kampung Lubuk Batu, Pengkalan Berangan, baru-baru ini.
Anak jati Kampung Jerung Surau, Pengkalan Berangan itu berkata, kejayaan mengusahakan kebun durian bukanlah sesuatu yang mudah kerana pelbagai cabaran perlu dihadapi, terutama serangan monyet serta kos penyelenggaraan kebun yang semakin meningkat.
Menurutnya, pokok durian kampung lazimnya mula mengeluarkan hasil selepas berusia lebih 10 tahun, namun penjagaan yang rapi menjadi faktor utama menghasilkan buah yang berkualiti.
"Semakin berusia pokok durian, biasanya semakin sedap isi buahnya, tetapi pokok perlu mendapat bekalan air dan baja yang mencukupi supaya hasilnya benar-benar berkualiti," jelasnya.
Bukan sekadar menawarkan pengalaman menikmati durian segar, Mizi Agrofarm turut menyediakan kawasan berkelah yang nyaman di bawah redupan dusun serta hidangan makan tengah hari dengan menu istimewa Nasi Putih Kuah Singgang pada harga hanya RM10, sekaligus memberi pengalaman santai kepada pengunjung bersama keluarga.
Sementara itu, isterinya, Siti Zubaidah Abdullah, turut memainkan peranan penting dalam mengembangkan perniagaan keluarga dengan mengusahakan jualan cendol durian yang menjadi kegemaran pelanggan.
Beliau berkata, terdapat dua pilihan menu yang ditawarkan iaitu cendol durian kampung dan cendol durian Black Thorn, namun cendol durian kampung kekal menjadi pilihan utama pengunjungnya.
"Saya membantu suami dengan menjual cendol durian. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan kebanyakan pelanggan memilih cendol durian kampung kerana rasanya yang lebih asli dan berlemak," katanya.
Musim durian saban tahun bukan sahaja membuka peluang rezeki kepada keluarga itu, malah menjadi pemangkin kepada sektor agro pelancongan di Marang apabila semakin ramai pengunjung dari dalam dan luar negara memilih Mizi Agrofarm sebagai destinasi menikmati keenakan durian kampung dalam suasana dusun yang damai.
Mizi Agrofarm dibuka setiap hari sepanjang musim durian bermula jam 10.00 pagi hingga 6.30 petang, orang ramai dijemput hadir menikmati durian segar, hidangan makan tengah hari serta cendol durian bersama keluarga.