• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Demi Wang Mudah, 59 Pemilik Akaun Keldai Ditangkap

KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Demi memperoleh wang secara  mudah menyebabkan segelintir individu sanggup menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) dan akaun bank kepada sindiket penipuan yang membabitkan beberapa modus operandi, antaranya pembelian atas talian, Macau Scam dan pinjaman tidak wujud.

Namun 59 pemilik akaun keldai (Mule Account) ini tumpas apabila Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menjalankan Ops Mule sejak 25 April hingga 31 April  susulan laporan kes penipuan yang diterima pihaknya meningkat mendadak sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata  kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun di seluruh negara dan hasil tangkapan tersebut membabitkan nilai kerugian hampir RM2 juta.

Katanya,  seramai 56 sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menyimpan barang curi.

"Majoriti daripada mereka yang ditahan mendakwa kononnya diri teraniaya dan langsung tidak mengetahui akaun bank miliknya disalahguna pihak tidak bertanggungjawab.

"Tetapi alasan diberikan langsung tidak boleh diterima kerana kita yakin pemilik akaun pastinya tahu sebelum bersetuju menjual kad akaun bank kepada pihak tersebut,"  katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Beliau juga berkata, berdasarkan siasatan, semua suspek adalah pemilik akaun (Mule Account) yang digunakan melalui taktik dan modus operandi terbaru sindiket penipuan melalui   'runner' yang memperdaya mangsa untuk menjual kad bank beserta nombor pin dengan tawaran harga sekitar RM200 hingga RM300 bagi setiap kad selain menjanjikan bayaran lumayan yang bakal diperolehi.

"Runner terbabit akan memperdayakan mangsa untuk membeli kad bank beserta nombor pin dengan harga RM200 hingga RM300 sebelum menjual semula kepada sindiket tersebut dengan harga mencecah RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap satu kad.

"Akaun bank tersebut akan digunakan anggota sindiket terbabit sebagai transaksi penyimpanan wang yang diperoleh hasil penipuan,"ujarnya lagi.

Justeru itu, orang ramai diingatkan supaya jangan mendedahkan maklumat bank dan peribadi dan jangan sesekali menyerahkan kad ATM, nombor PIN dan akses perbankan internet kepada pihak lain.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan panggilan dari pihak tidak dikenali  kononnya ada berlaku kesilapan pindahan wang dan meminta agar dilakukan pindahan semula.

"Jika kita mendapati ada jumlah wang dimasukkan ke dalam akaun bank tanpa diketahui daripada mana, segeralah membuat semakan dengan pihak bank bagi menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa keldai akaun,”tambahnya.


Tag: