• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dialog ‘Resilient Terengganu’ Lambang Keterbukaan Kerajaan

KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Dialog 'Resilient Terengganu' 2024 yang dianjurkan Terengganu Strategic and Integrated Studies (TSIS) hari ini membuktikan keterbukaan Kerajaan Negeri Terengganu dalam mendepani pandangan dan kritikan pihak luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata dialog itu dibuat bagi mengumpul dapatan konstruktif daripada para ahli panel yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing.

"Perspektif dan saranan yang berdasarkan bukti faktual sangat penting untuk membantu kepimpinan Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan dan tindakan yang berpandukan data atau 'data-driven'," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Resilient Terengganu Dialogue 2024 (RTD2024) di Dewan Intan, Hotel Permai di sini hari ini.

Tambah Razali, dialog tersebut adalah sambungan daripada Persidangan Terengganu Sejahtera 2022, yang menekankan keperluan untuk bermula dari sekarang dalam membangunkan kapasiti dalam pelbagai bidang.

Katanya, tema 'resilient' atau berdaya tahan dialog itu adalah penting dalam menghadapi cabaran masa kini dan masa hadapan.

“Lebih lanjut, dialog ini mencetuskan harapan untuk mencipta inovasi dalam perancangan, pentadbiran, dan penyampaian perkhidmatan oleh Kerajaan Negeri Terengganu. 

“Hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan badan-badan pemikir tidak akan berhenti pada program ini sahaja, tetapi akan diteruskan melalui pelbagai projek penyelidikan, inisiatif ‘living lab’, aktiviti advokasi, dan program-program lain,” ujarnya.

Razali berkata cabaran global seperti kesihatan, perubahan iklim, dan kemajuan teknologi menjadi tumpuan utama dalam dialog itu.

Beliau turut menyampaikan penghargaan yang tinggi kepada semua pembentang daripada enam badan pemikir dan pusat penyelidikan ternama di negara ini.

"Antara yang hadir ialah IDEAS, Merdeka Center, Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Khazanah Research Institute (KRI), Institute for Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) dan AmInvestment Bank Berhad.

"Saya berharap program dialog tersebut akan menjadi acara tahunan untuk memperkukuh keberdayaan negeri Terengganu," ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: