DUNGUN, 17 November — “Seperti kata Saidina Ali, didiklah anak-anakmu untuk menghadapi 20 tahun akan datang. Zaman ini bukan lagi zaman kita. Ini zaman mereka,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat ketika merasmikan Majlis Penutup Forum Anti Buli di Dewan Besar Darul Bayan, Pinang Merah, pada Ahad.
Mengulas perkara itu, beliau berkata cadangan mendidik anak-anak mengikut cabaran masa kini semakin penting berikutan peningkatan isu buli, tekanan rakan sebaya dan pengaruh media sosial yang boleh menjejaskan pembentukan sahsiah generasi muda.
“Isu buli, tekanan rakan sebaya, media sosial semuanya boleh bagi kesan besar pada jiwa anak-anak kalau tidak dibimbing dengan betul,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa jati diri dan kekuatan dalaman perlu ditanam sejak kecil bagi membentuk generasi yang matang dan berakhlak.
“Kita kena bentuk mereka dengan jati diri yang kuat, hati yang berani tapi beradab, dan akhlak yang dijaga. Tegur bila salah, puji bila betul, dengar bila mereka bercerita,” jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu turut menekankan, nilai empati perlu disemai sebagai benteng terhadap budaya buli.
“Ajarkan mereka empati supaya mereka tak jadi pembuli, dan juga tahu cara mempertahankan diri bila orang cuba menindas,” katanya lagi.
“Asasnya tetap Islam. Kalau akhlak kuat, hati lembut, insya-Allah mereka jadi generasi yang menghormati orang, bertimbang rasa dan tak sanggup menyakiti sesiapa,” ujarnya.
Beliau berharap agar anak-anak di negeri ini membesar dalam persekitaran selamat, menerima pendidikan berkualiti dan menjadi insan yang memberi manfaat kepada masyarakat pada masa hadapan.