• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Diskaun Bayaran Cukai Pintu Untuk Premis Sempena VBT 2017


Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menawarkan diskaun bayaran cukai pintu bagi premis perniagaan dan pejabat yang mengecat dan meningkatkan pencahayaan sempena Tahun Melawat Terengganu 2017, bermula tahun ini sehingga tahun hadapan.

Datuk Bandar MBKT, Zulkifli Abu Bakar, berkata insetif itu diberikan kepada pemilik premis dan bangunan yang membantu pihak bekuasa tempatan itu merealisasikan usaha murni sempena memeriahkan sambutan Visit Beautiful Terengganu 2017.

“Ini juga merupakan satu galakan kepada pemilik untuk menceriakan bangunan mereka dengan mengecat dan memasang lampu berwarna-warni yang menghiasi suasana malam serta  seterusnya dapat meningkatkan keindahan dan keceriaan Bandar Raya Kuala Terengganu.

“Usaha yang dibuat ini juga dapat memberi gambaran bahawa Bandar Raya Kuala Terengganu tidak mengalami kereputan bandar `urban decay’ kerana bangunannya dipelihara dan sentiasa dicat baru,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.


Zulkifli berkata, kadar diskaun yang diberikan ialah sebanyak 15 peratus bagi mengecat premis dan memasang lampu hiasan. Bagaimanapun, bagi mengecat bangunan  sahaja  sebanyak 10 peratus dan lima peratus untuk yang memasang lampu hiasan sahaja.

Katanya, diskaun-diskaun itu diberikan terhadap cukai pintu tahun semasa.
Tambahnya lagi, bagi mendapatkan pemberian diskaun pemilik bangunan terlibat dikehendaki menjelaskan bayaran cukai pintu bagi tahun semasa dan tunggakan terlebih dahulu.


Menurutnya, pemilik juga perlu mengemukakan permohonan secara bertulis kepada majlis dan membuktikan kepada pihaknya yang bangunan tersebut sudah dicat baru atau pemasangan lampu hiasan atau kedua-duanya sekali dangan menyertakan gambar terbaru.

Tag: