Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan menjalankan proses disinfeksi ke atas beberapa surau dan masjid yang dikunjungi oleh individu disyaki positif COVID-19.
Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya telah menerima makluman awal mengenai kes tersebut pada 18 Ogos 2020.
Tegasnya, langkah proaktif telah diambil walaupun kes itu masih dalam proses ujian pengesahan di makmal.
‘’Individu tersebut tidak bergejala dan mempunyai sejarah pulang bercuti ke Terengganu pada 30 Julai sehingga 15 Ogos 2020. Sepanjang berada di Terengganu, beliau telah menziarahi sanak saudara dan kenalan di beberapa lokasi.
‘’Sebagai langkah proaktif untuk mencegah dan mengawal penularan, JKNT telah membuat pengesanan, pengasingan dan ujian saringan ke atas kontak-kontak rapat meskipun pengesahan kes beliau masih berjalan,’’ katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Mengulas lanjut, pihaknya mengesyorkan masjid dan surau yang terlibat ditutup kepada umum sehingga keputusan ujian pengesahan dan ujian makmal ke atas semua kontak diperolehi.
Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan situasi berkenaan kerana langkah awal sudah diambil.
‘’Masyarakat diminta untuk kekal tenang di samping sentiasa mematuhi ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) di setiap masa serta tempat bagi mencegah penularan wabak di Negeri Terengganu khasnya dan di Malaysia amnya.
‘’Ingatlah bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuatkuasa sehingga 31 Ogos 2020. Marilah kita sama-sama membudayakan amalan 3S/3C dan 3W sebagaimana saranan kementerian kesihatan Malaysia," tambah beliau.