• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ditawan Israel Pengalaman Antara Hidup Dan Mati

Mohd Afandi bersama isteri dan anaknya ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, petang tadi

Aktivis tunggal dari Malaysia yang menyertai misi 'Right to A Just Future for Palestine' ke Gaza, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu petang tadi, selepas ditahan oleh tentera Israel, tiga hari lalu.

Menceritakan pengalamannya, Mohd Affandi, 47, berkata, di saat 12 kapal perang tentera Zionis mengepung mereka setiap sudut, mereka seperti berada dalam peperangan antara hidup dan mati.

"Pada masa itu, kapal Al-Awda sudah hampir ke perairan Gaza iaitu sekitar 49 batu nautika dari perairan Gaza dan kapten kapal warganegara Norway tetap berkeras  meneruskan perjalanan sehingga 40 batu nautika dari perairan berkenaan.

"Saya dan rakan-rakan buang segala alatan seperti periuk termasuk garfu kerana bimbang dikatakan alat tersebut boleh dijadikan senjata dan boleh cederakan orang lain.

"Tentera Israel merampas kapal kami dengan tanpa belas kasihan dan memaksa kapal memasuki perairan Israel dan seterusnya dibawa ke pelabuhan yang mana ratusan tentera zionis menunggu kami seperti orang yang telah melakukan kesalahan besar padahal kami hanya nelayan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, petang tadi.

Menurutnya, selepas melalui beberapa peringkat, kemudian dipenjarakan atas tuduhan memasuki Israel secara haram.

"Kemudian saya disuruh untuk menandatangani surat akuan menceroboh Israel tetapi saya tolak dan selepas  hari kedua ditahan, barulah saya tandatangan selepas peguam saya mengatakan ia selamat untuk ditandatangani.

"Akhirnya saya dibenarkan pulang
ke Malaysia melalui Bangkok, Thailand tanpa punyai apa-apa kecuali pasport dan berjaya hubungi keluarga untuk maklumkan keadaan saya,"ujarnya lagi.

Mohd Afandi merupakan wakil tunggal Malaysia dalam kapal Al-Awda yang menjadi tahanan Israel bersama sukarelawan lain ketika membawa bekalan perubatan bernilai RM61,000 untuk rakyat Palestin di Gaza.

Beliau yang menyertai misi 'Just Future for Palestine' diculik dari perairan antarabangsa pada 29 Julai kira-kira jam 7.15 petang waktu Malaysia ketika berada pada  kedudukan 49 batu nautika dari Gaza.

Tag: