• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Dr Azman Korban Lembu Sado 3.2 Tan Untuk Penduduk Jabi

 

SETIU, 4 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menampilkan kelainan pada ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini dengan menyembelih lapan ekor lembu jenis Charolais, Belgian Blue dan Limousine semalam.

Apa yang menarik, haiwan korban atau digelar lembu sado itu mempunyai saiz yang besar dengan berat keseluruhan kira-kira 3.2 tan.

Dr Azman berkata, ia merupakan program korban yang julung-julung kalinya diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dengan melibatkan skala besar.

"Di hari Tasyriq yang terakhir, program Korban Perdana DUN Jabi disempurnakan dengan penyembelihan lapan ekor lembu sado baka bernilai kira-kira RM100,000.

"Ia mencukupi untuk dipastikan daging korban ini sampai ke setiap 6,000 buah rumah dalam DUN Jabi, kuantiti daging yang mampu kita agihkan ke setiap rumah tidaklah banyak. Tapi bolehlah sama-sama merasa keenakkan daging lembu sado," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita di Program Korban Perdana peringkat DUN Jabi di Dataran Pekan Jabi, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para petugas yang bertungkus-lumus bermula daripada awal persiapan, proses penyembelihan serta pengagihan ke setiap rumah penduduk.

"Kunci kejayaan program yang paling utama ialah semangat kerjasama para petugas dari Pusat Khidmat ADUN Jabi, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jabatan Amal, Jabatan Keselamatan, Pemuda, Muslimat, Ameerah dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu," tambah beliau.