• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Dr Azman Seru Rakyat Terus Kuat Hadapi COVID-19

SETIU, 10 Februari – Dr Azman Ibrahim menyeru rakyat di negeri dan negara ini untuk terus cekal menjalani Kehidupan di era pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri itu berkata ini kerana terdapat ramai individu yang berdepan dengan ujian tekanan hidup yang kadang kala diluar kawalan emosi normal manusia.

Oleh yang demikian katanya, ia menjadi tanggungjawab semua pihak untuk saling membantu terutamanya pemimpin masyarakat.

"Dalam apa jua situasi sekalipun, pemimpin perlu bergerak untuk menjaga rakyat dan rakyat juga perlu bergerak untuk mencari rezeki.

"Tidak tepat kalau kata, rakyat duduk diam-diam biar pemimpin yang bergerak buat urusan. Kita tidak akan mampu untuk menghantar makanan ke setiap pintu rumah rakyat apabila sampai waktu makan.

"Kita perlu realistik dan berpijak di bumi nyata. Walau setiap hari kita masuk kampung pikul barangan bantuan untuk rakyat, ia tak mencukupi. Bantuan hanya bersifat meringankan beban," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Kuala Kubang, Jabi, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Sudin Awang, Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera (I-MiTS), Norisabri Ismail dan Penolong Hal Ehwal Masyarakat i-MiTS, Zakaria Mahmud.

Bercakap tentang agihan bantuan tersebut, Dr Azman memaklumkan sumbangan adalah berbentuk makanan seperti beras, minyak, gula dan gandum bagi mereka yang terkesan akibat COVID-19.

Menurut beliau, turun padang merupakan aktiviti yang tidak asing bagi dirinya.

"Ini kerana, sebarang aduan, permasalahan yang dihadapi rakyat lebih ‘jelira’ dan lebih mengutamakan ‘first hand info’ tanpa ditokok tambah.

"Jadilah kita sebagaimana orang di hadapan kita dan bercakaplah dengan bahasa mereka. Hati akan bertaut dan kita mudah berbicara.

"Kurangkan jurang birokrasi nescaya kita akan dapat mendekatkan hati. Kita mari nak tanya masalah rakyat maka jangan sampai rakyat segan nak bercakap dengan kita," jelasnya.