• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Dr. Sam Gembira Anak Muda Libat Diri Ibadah Korban

MARANG, 29 Jun- Penglibatan golongan muda dalam melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya Aidil Adha mampu memberi pendedahan betapa pentingnya ibadah berkenaan dalam kehidupan Muslim.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata penglibatan golongan belia itu turut menjadi latihan untuk menyesuaikan diri mereka dalam masyarakat.

"Saya amat gembira dengan anak-anak muda di Terengganu yang masih ramai melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini.

"Perlu kita ingat bahawa ibadah korban ini telah ada sejak dari zaman Nabi Ibrahim AS dan kepada umat Nabi Muhammad SAW, ada kaedah-kaedah yang digariskan sebagaimana saranan Baginda SAW.

"Ibadah ini akan berterusan sehingga kiamat, jadi penglibatan semua pihak termasuk anak-anak muda di semua tempat, termasuk juga di negeri-negeri lain, haruslah sama-sama digerakkan supaya mereka mengetahui peri pentingnya ibadah ini dalam kehidupan mereka," katanya ketika ditemui selepas aktiviti ziarah di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Kerak, hari ini.

Tambahnya, peranan yang mampu dimainkan oleh anak muda hakikatnya amat besar dan memberi kesan kepada negeri dan negara.

"Kita semua memahami betapa pentingnya anak-anak muda dalam negara kita, termasuklah dalam sistem demokrasi.

"Mereka ada peranan masing-masing, Sebab itu, saya menyeru kepada semua anak muda supaya bersama-sama melibatkan diri dalam program-program seperti ini, program-program kerajaan dan ini merupakan sumbangan mereka sendiri, sama-sama terlibat dalam mengurus tadbir sesebuah negeri," katanya.

Terdahulu, deliau dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman turun ke beberapa lokasi sembelihan lembu korban sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, pagi ini bagi menziarahi komuniti setempat yang melaksanakan ibadah tersebut.

Tahun ini, sebanyak 93 ekor lembu dikorbankan di DUN Rhu Rendang.

Dr. Samsuri sendiri menyumbangkan 43 ekor lembu untuk seluruh DUN berkenaan, melibatkan 28 kampung keseluruhannya selain ke surau-surau, taman perumahan dan agensi-agensi yang ada di DUN itu.

"Tahun lepas kita buat secara besar-besaran di suatu tempat, tetapi tahun ini diagihkan kepada semua kampung supaya komuniti setempat dapat merasai kemeriahan suasana korban ini," ujarnya.

 

 


Tag: