• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dr Samsuri Tekuni Usaha Capai PITAS 2030

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Foto - Tengku Syamim Tengku Ismail

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu komited dalam usaha untuk memperincikan hala tuju pentadbiran negeri secara holistik berpandukan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 yang telah pun dilancarkan baru-baru ini semasa Majlis Ucap Negeri 2018.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program pada hari ini diharapkan menjadi titik tolak kepada perancangan yang lebih terperinci yang pastinya akan dilaksanakan oleh kesemua kepimpinan negeri yang hadir.

“Saya berharap, setiap anggota dalam pentadbiran negeri mesti memainkan peranan masing-masing, seperti Exco, ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berperanan membuat dasar.

“Ianya akan dilaksanakan oleh Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (TCS) bagi agensi kerajaan dan ‘CEO’ bagi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

“Keserasian perlu wujud antara keduanya supaya dasar yang dilaksanakan kelak dapat memberi manfaat sebaiknya kepada rakyat," ujarnya.

Tambahnya, semua ini penting untuk meningkatkan produktiviti dan seterusnya sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik dapat dilaksanakan oleh kedua-dua sektor terlibat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, semalam (19 September).


Menurutnya, Program Bicara Darul Iman ini menampilkan Tan Sri Dr Sharifah Zarah yang merupakan bekas Pegawai Tadbir & Diplomatik dan jawatan terakhir merupakan bekas Pegawai Tadbir & Diplomatik dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Dengan pengalaman pentadbiran yang ada pada beliau, banyak yang dapat dikongsi kepada peserta pada hari ini.

"Matlamat perancangan yang dibuat oleh pentadbiran negeri sekarang adalah untuk mencapai PITAS 2030.

“Tentunya kerjasama antara semua yang hadir pada hari ini amat diharapkan oleh pentabiran kerajaan negeri pada hari ini,” tambahnya.


Tag: