• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Dr Zakir Naik Diprovok Kerana Kejayaan Islamkan 'Non Muslim'


 
Ahmad Amzad Hashim
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Ada segelintir pemimpin Kerajaan Pusat bimbang jika dibiarkan tinggal lama di Malaysia, Penceramah Antarabangsa Dr Zakir Naik akan berjaya mengislamkan ribuan penganut bukan Islam di seluruh negara.

Justeru Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, pemimpin-pemimpin bukan Islam dan ada pemimpin bernama Islam sendiri cuba menimbulkan provokasi dan menekan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar menghalau pendakwah itu keluar dari negara ini.

"Anda usir Zakir Naik, umat Islam akan usir kamu dari kerajaan paling lewat di pilihanraya umum akan datang," tegas Ahmad Amzad dalam satu kenyataan media mengulas perkembangan mutakhir mengenai pendakwah bebas itu hari ini.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu memandang serius perkembangan mutakhir berkait dengan isu tersebut.

Katanya, Dr Zakir Naik terkenal dengan ceramah perbandingan agama yang mendorong ribuan masuk Islam secara sukarela.

"Tidak pernah ada laporan bahawa beliau memaksa orang hadir ke ceramah beliau atau memaksa sesiapa untuk masuk Islam," jelasnya.

Menurut beliau Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen, kebebasan bersuara adalah satu prinsip asas dengan syarat syarat tertentu untuk menjaga kepentingan kerukunan masyarakat.

Katanya, Perlembagaan Malaysia meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan yang kerana itu adalah munasabah Islam dikembangkan melalui pelbagai pendekatan dakwah yang dibenarkan oleh Islam.

"Islam melarang sebarang paksaan dalam soal kepercayaan. Perbincangan, perbahasan yang bersifat akademik dengan merujuk sumber sumber yang berautoriti adalah sesuatu yang diterima oleh masyarakat yang bertamadun.

"Anda berbahas, keluarkan hujah. Terpulang yang mendengar mahu menerima atau tidak.

"Yang tidak boleh diterima adalah ucapan berapi api yang bersifat menghasut kebencian, permusuhan dan pergaduhan yang membawa kepada kecederaan fizikal dan harta benda," jelas beliau lagi.

Beliau mendengar ceramah Dr Zakir Naik dan mendapati di mana mana pun tiada yang berlangsung dalam suasana kebencian, pergaduhan dan permusuhan.

"Memang benar ia mencabar pemikiran orang yang tidak sama kepercayaan (dengan beliau) tetapi sebagai manusia yang bertamadun masyarakat boleh menerima atau menolak hujah beliau.

"Tiada yang mendengar ceramah beliau kemudian menjadi seorang militan yang mengancam sesama manusia sesudah itu.

"Saya berkongsi keprihatinan Perdana Menteri terhadap komen beliau  yang didakwa mencampuri urusan hubungan kaum. Itu perlu ditangani dengan berhemah dan komen itu sebenarnya tidak perlu dan perlu diteliti sama ada ia didorong oleh apa dan konteks apa," katanya.

Menurut beliau, Dr Zakir Naik diterima baik oleh umat Islam di Malaysia.

"Yang tidak menerimanya adalah golongan tertentu yang berterusan memberi tekanan dan mereka diberi laluan oleh segelintir umat Islam yang bersifat apologetik tak kena tempat kerana jiwa kerdil yang merasa bergantung hayat kepada sokongan pihak tertentu," ujarnya lagi.

Tag: