• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Dron Terhempas Di Menara Drawbridge, Punca 'No Fly Zone'

KUALA TERENGGANU, 21 Julai - Larangan menerbangkan dron dan memancing yang telah dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan Drawbridge adalah untuk memastikan keselamatan struktur bangunan dan orang awam terjamin.

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud berkata, kegagalan mengawal dron boleh menyebabkan risiko melanggar cermin bangunan termasuk ‘skybridge’ yang hampir keseluruhannya terdiri daripada panel kaca boleh retak atau pecah jika ada impak daripada pesawat udara tanpa pemandu terbabit.

“Berdasarkan kes terdahulu, terdapat beberapa unit dron yang telah terhempas di atas bumbung menara dan kawasan persekitaran jambatan.

“Selain itu, penggunaan dron di kawasan ini turut berisiko untuk melanggar dan tersangkut pada ‘Lightening Arrestor’, memberi gangguan kepada sistem frekuensi operasi (system bascule yang beroperasi menggunakan sistem gelombang frekunsi dan wifi) serta mendatangkan bahaya kepada pengunjung dan pemandu jika terhempas," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pihak pengurusan Terengganu Drawbridge juga terikat dengan peraturan yang telah diwartakan dalam Akta Penerbangan Awam 1969 dan Peraturan-Peraturan penerbangan Awam Malaysia 2016 iaitu setiap penerbang dron memerlukan permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menjalankan aktiviti penerbangan.

“Kegagalan dalam mendapatkan Permit Penerbangan daripada CAAM akan dikenakan denda minima RM50,000 atau tiga tahun penjara bagi individu atau denda maksima RM100,000 untuk badan korporat,” ujarnya.

Justeru katanya, bagi menjamin keselamatan persekitaran Terengganu Drawbridge, pihaknya telah menetapkan papan tanda ‘No Fly Zone’ di sekitar kawasan tersebut bagi setiap penerbangan dron dengan mendapat kelulusan permit dari pihak berwajib.

“Bagi isu larangan memancing pula, kawasan larangan yang dimaksudkan adalah di bawah jambatan dan kawasan R.O.W jambatan sahaja. Ia adalah untuk memastikan kawasan ini bebas dari sisa-sisa umpan yang ditinggalkan oleh pemancing yang mencemarkan pemandangan dan bau busuk,” katanya.

Khalizan berkata, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan keselesaan, keselamatan pengunjung dan bangunan Drawbridge dan sentiasa mengalu-alukan pandangan dari orang ramai untuk membaiki mutu pengurusan Terengganu Drawbridge.

Kata beliau, pihaknya akan meletakkan garisan di tempat larangan memancing iaitu di bawah jambatan dan orang ramai masih boleh meneruskan aktiviti itu di kawasan sekitar yang lain.

“Begitu juga dengan dron, hanya di kawasan struktur drawbridge sahaja (ia dilarang) dan ia dikuatkuasakan demi keselamatan bersama,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Khalizan berkata, pihaknya amat menghargai minat dan berterima kasih kepada para penerbang dron yang telah memuat naik video-video yang dirakam di Drawbridge sekali gus membantu mempromosikan ikonik Terengganu di mata dunia.

Difahamkan, larangan ‘No Fly Zone’ itu tular di laman sosial media dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
 


Tag: