• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Dua Anak Syarikat Majukan Industri Ternakan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 25 April - Sebanyak dua anak syarikat kerajaan negeri (GLC) melibatkan diri dalam memajukan industri penternakan Negeri Terengganu iaitu Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRT) dan Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, LRT memulakan industri ternakan lembu pedaging pada tahun 2007 dengan jumlah populasi sebanyak 300 ekor dan jumlah populasi terkini adalah sebanyak 3,534 ekor.

Katanya projek khas pembasmian kemiskinan Negeri Terengganu (PPRT) Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bermula tahun 2009 dengan populasi sebanyak 161 ekor dan jumlah semasa sebanyak 417 ekor.

"Projek ini menyumbang 50 peratus keuntungan kepada rakyat miskin negeri Terengganu melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan jumlah yang disalurkan sehingga kini ialah RM184,539.38," ujarnya.

Dr Azman berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di sini.

Dr Riduan dalam soalannya ingintahu setakat mana penglibatan GLC negeri dalam memajukan sektor penternakan Negeri Terengganu.

Dr Azman yang juga ADUN Jabi seterusnya berkata LRT juga program Skim Transformasi Usahawan Sektor Ternakan (TRUST) bermula tahun 2011 dengan jumlah populasi ternakan sebanyak 100 ekor dan populasi semasa adalah 362 ekor.

"Serahan sebanyak 100 ekor kepada penternakan-penternakan," katanya.

 


Tag: