Dua Beranak Maut, Seorang Cedera Parah di Kg Kepah

HULU TERENGGANU, 13 Februari – Seorang wanita bersama anaknya maut, manakala seorang lagi anaknya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer (km) 13, Jalan Gaung – Kuala Ping – Teris, berhampiran Kampung Kepah, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa yang terkorban dikenali sebagai Nursaidatul Aishah Zakri, 36, dan anaknya, Wan Nur Izara Aina Tun Mohd Khairul, 12.

Menurut beliau, kejadian berlaku sekitar jam 11.55 pagi ketika mangsa bersama seorang lagi anaknya, Tun Nur Ufaira Afifa Tun Mohd Khairul, 9, dalam perjalanan pulang dari kedai di Kampung Kepah menuju ke Kampung Tengkawang.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, sebuah Perodua Axia yang dinaiki lima pelajar lelaki dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh menghala ke Kuala Berang, sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal jenis Yamaha Ego Solariz yang ditunggang mangsa," katanya.

Tun Nur Ufaira Afifa yang mengalami kecederaan parah turut dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Insiden ini turut mendapat perhatian

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong,  Mohd Zawawi Ismail, yang turun meninjau lokasi kejadian serta menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa.
 

 


Sementara itu, lima pelajar yang terlibat dalam kemalangan tersebut terselamat, dengan hanya seorang daripada mereka mengalami kecederaan di tangan dan telah menerima rawatan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," tambah Abdul Wahab. 


Tag: