• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Dua Gol Dalam Dua Minit, Julang Terengganu FC II

KUALA TERENGGANU, 27 April- Dua gol dalam tempoh dua minit membolehkan Terengganu Football Club II (Terengganu FC II) menang 2-0 ke atas UiTM FC pada saingan Liga Premier 2022, malam ini.

Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah SSINS), duo import Jordan Mintah dan Argzim Redzovic memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila masing-masing menyumbang gol pada minit ke- 63 dan ke-65 perlawanan.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang bagi memburu jaringan sulung.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang lawan menerusi percubaan tonggak import, Jordan Mintah pada minit keempat namun ditepis penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Pada minit ke-38, The Lions Troop melakukan percubaan balas, sayangnya tendangan Ahmad Azriddin Rosli dari luar kotal penalti tinggi melepasi palang gol.

Kedua-dua pasukan bermain baik namun terus buntu tanpa jaringan sehingga wisel separuh masa ditiupkan.

Memasuki babak kedua, skuad kendalian Badrul Afzan Razali cuba meningkatkan kualiti serangan mereka dengan lebih banyak menguasai bola.

Pada minit ke-64, The Turtle berjaya meledak gol sulung berpunca rembatan deras Amirul Syazwan Nor Azmi yang ditepis penjaga gol, mudah ditolak masuk Jordan Mintah.

Dua minit berselang, Argzim pula menanduk kemas bola muntah hasil tandukan Wan Mohamad Fazli dari sepakan sudut yang diambil Muhammad Syaiful Haqim.

UiTM FC cuba bangkit menyamakan kedudukan, bagaimanapun pertahanan Terengganu FC II kekal ampuh sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan malam ini melonjakkan kedudukan The Turtle ke tangga keempat liga dengan 10 mata.

 


Tag: