• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Dua Kad Merah Rencat Langkah Terengganu FC

KUALA NERUS, 9 Jun- Dua kad merah yang diterima pertahanan, Argzim Redzovic dan penyerang, Ivan Mamut merencatkan usaha Terengganu FC mengutip sebarang mata, apabila tewas tipis kepada pendahulu Liga Super Malaysia, Johor DT, malam ini.

Melayan kunjungan pasukan 'kebal' itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Tomislav Steinbruckner membuat kejutan apabila menyenaraikan pemain muda meningkat naik, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob sebagai penyerang utama.

Tuan rumah mendapat peluang mencetak gol awal menerusi Sony Norde pada minit ke-17, namun rembatannya dari jarak dekat melambung melepasi gawang.

Empat minit kemudian, Engku Shakir pula nyaris-nyaris menjaringkan gol, tetapi sekali lagi rembatan tersasar.

Pada minit ke-20, Johor DT yang melakukan serangan pertama berjaya mendapatkan gol pendahuluan menerusi Fernando Forestieri.

Bermula dari hantaran lintang Arif Aiman Mohd Hanapi, Forestieri melakukan sepakan gunting di luar kotak penalti yang menerjah jaring selepas situasi kelam-kabut dalam usaha pertahanan Terengganu FC mengeluarkan bola.

Tuan rumah bagaimanapun kembali menyamakan kedudukan apabila Sony Norde menyempurnakan sepakan percuma dari jarak 20 meter, lapan minit kemudian.

Perlawanan berlangsung rancak dengan kedua-dua pasukan bertukar-tukar serangan.

Namun, pada minit tambahan separuh masa pertama, Sony Norde didakwa melakukan terjahan ke atas Arif Aiman sekaligus menghadiahkan penalti kepada pelawat.

Penjaring terbanyak liga, Bergson Da Silva menyempurnakan sepakan penalti untuk Harimau Selatan berada di hadapan dengan jaringan 2-1.

Bersambung babak kedua, Sang Penyu 'tempang' pada minit ke-52, apabila Argzim dilayangkan kad kuning kedua setelah dikesan melakukan terjahan keras ke atas Juan Muniz.

Sekalipun kekurangan seorang pemain, Terengganu FC terus bermain secara terbuka untuk mencari jaringan penyamaan.

Bagaimanapun, Terengganu FC sekali lagi dihukum pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih yang melayangkan kad merah kepada pemain gantian, Ivan Mamut pada minit ke-73.

Ivan yang masuk menggantikan Domagoj Pusic tidak sampai sepuluh minit sebelum itu, didakwa mengasari Muhamad Feroz Baharudin yang melakukan kekasaran ke atasnya terlebih dahulu semasa perebutan bola.

Bermain dengan sembilan pemain, tuan rumah lebih banyak bertahan di kubu sendiri dan melancarkan serangan balas dalam beberapa kesempatan.

Johor DT menguasai perlawanan dan berhasil menambah jaringan menerusi Endrick Dos Santos pada masa tambahan separuh masa kedua.

Perlawanan berakhir dengan skor 3-1 disulami kemarahan penyokong tuan rumah kepada pengadil perlawanan.

Setelah perlawanan pertama pusingan kedua malam ini, Terengganu FC bagaimanapun kekal berada di tangga ketujuh liga dengan 20 mata.


Tag: