• 15 Ogos 2020 | 25 Zulhijah 1441

Dua Lagi Positif COVID-19 Di Terengganu

PUTRAJAYA,17 Julai - Terengganu mencatatkan dua lagi kes positif COVID-19 hari ini membabitkan kontak rapat individu yang baru pulang dari Nigeria semalam atau kes 8737 kluster PUI Pitakwa.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini adalah 114 termasuk satu kematian.

Kedua-dua mangsa yang merupakan isteri serta anak kes 8737 tidak menunjukkan gejala jangkitan dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes baharu itu antara 18 kes positif yang dilaporkan iaitu 10 kes import mendapat jangkitan dari luar negara dan lapan kes penularan tempatan.

Katanya, dengan pertambahan kes berkenaan ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 8,755 dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan 92 kes.

"Hanya tiga kes pulih yang dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 8,541 kes atau 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya dalam kenyataan.

Beliau turut memaklumkan, tiada pertambahan kes kematian dicatatkan hari ini dan angkanya kekal 122 kes bersamaan 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.


Tag: