• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Dua Otai Gergasi Ragbi Terengganu Berentap


Pasukan Sultan Sulaimanian Old Boys menentang Pasukan Sesma Old Boys Rugby Club dalam perlawanan persahabatan di Padang Sekolah Menengah Teknik, Wakaf Tembesu.
Oleh: Nasir Abdullah

KUALA TERENGGANU, 11 November - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman (SS) dan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) adalah dua buah sekolah yang terkenal dengan pencapaian hebat akademik dan sukan di Negeri Terengganu.

Antara sukan yang menjadi tumpuan kedua-dua buah sekolah ini ialah sukan ragbi dan telah dibuktikan pencapaian kedua-duanya bukan sahaja dalam negara, malah sehingga ke peringkat antarabangsa.

Nama-nama seperti Azli Ibrahim, Mohd Hafiz Zainal dari SS dan Nasaruddin Ismail dari SESMA, adalah antara pemain yang berjaya dilahirkan mewakili dan mengharumkan nama Malaysia.

Kedua-dua pasukan sentiasa mendominasi kejuaraan ragbi di peringkat sekolah dengan saling bertukar dan mengambil alih kedudukan sebagai pemenang, menjadikan perlawanan antara keduanya layak dinobatkan sebagai pertembungan klasik ragbi Terengganu.


Semalam, 'dendam' lama kedua-dua pasukan dilangsaikan dengan diadakan satu perlawanan persahabatan di antara Sultan Sulaimanian Old Boys dan Sesma Old Boys Rugby Club di Padang Sekolah Menengah Teknik, Wakaf Tembesu.

Perlawanan yang berlangsung dengan penuh semangat kesukanan serta imbauan nostalgia yang dimenangi SESMA 8-5 itu, disaksikan oleh kira-kira hampir 200 orang pemain dan penyokong dari kedua-dua pasukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu hadir sebagai tetamu istimewa dan kemudiannya menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut sama memeriahkan perlawanan, Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Terengganu, Amir Amri Haji Mohamad dan Timbalannya, Che Zulkarnain Abdul Wahab yang kebetulan juga adalah bekas pelajar SS.
Khairil Izwan Ishak
Khairil Izwan Ishak, 32, yang menjadi Pengarah Program Rugby Homecoming Test ini berkata, antara matlamat program ini ialah bagi mengumpulkan kembali pemain-pemain lama ragbi Terengganu.

“Ianya juga bagi membantu kerajaan negeri dalam pembangunan sukan ragbi Terengganu. Terengganu tidak ketandusan pemain-pemain berbakat dan kita mengharapkan agar diperbanyakkan lagi perlawanan-perlawanan di peringkat dalaman bagi memberikan lebih pendedahan kepada mereka.

"Kami akan sentiasa bersedia memberikan kerjasama kepada Kerajaan Terengganu dalam usaha ini,” ujarnya lagi.

Manakala Ketua Pasukan SESMA, Muhammad Qairee Mamat, 43, berkata, idea perlawanan seperti ini amat baik bagi merapatkan kembali ukhuwah serta mengimbau kenangan lama.

Bagi beliau, semua pemain kedua-dua pasukan adalah kawan-kawan lama walaupun berlainan sekolah, tetapi apabila menyarung jersi Terengganu, hati mereka tetap kepada kejayaan negeri.

“Kami sangat berpuas hati dengan penganjuran ini dan berharap ia akan menjadi acara tahunan.

"Kami juga mencadangkan agar Kerajaan Negeri Terengganu memberikan lebih banyak penumpuan kepada perkembangan sukan ragbi yang telah terbukti melahirkan ramai pemain kebangsaan,” kata beliau.

Ditanya apakah rahsia berjaya mengekalkan kecergasan walaupun sudah melewati umur 40 tahun, Qairee yang masih aktif bermain itu menjawab ringkas, seorang pemain perlu sentiasa berlatih.


Tag: