• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Dua Pelajar Tinggal Sehelai Sepinggang Dibantu

DUNGUN, 8 Jun -Pengerusi Ahli Lembaga Pengurus Sekolah Rendah Agama Bersepadu Zainal Abidin (SRABZA), Alias Harun memberi jaminan akan menghulurkan bantuan kepada dua pelajar sekolah terbabit yang tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka di Kampung Che Lijah hangus terbakar Jumaat lalu.

Katanya, pihak sekolah akan membantu menyediakan pakaian dan peralatan sekolah serta mengecualikan yuran kepada Nur Alya Dalili Mohd Nizam,10, dan adiknya Muhd. Aziq Azril, 9.

"Yuran bulanan persekolahan mereka dikecualikan selama tiga bulan iaitu Jun, Julai dan Ogos," katanya ketika dihubungi pemberita.

Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berharap, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung setelah rumah yang  diduduki sekeluarga bersama nenek mereka musnah terbakar. 

Sementara itu, Guru Besar SRABZA, Norzadiha Ibrahim bersama-sama ADUN  Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pegawai Khas Parlimen Dungun, Mohd Amin Hamid dan  Zakaria Tahir yang juga Ahli Lembaga Pengurusan SRABZA  turut berkunjung bertemu keluarga Alya dan Aziq yang kini  menumpang di rumah nenek mereka serta menyampaikan sumbangan kewangan.

"Pihak sekolah sangat bersimpati dengan musibah yang menimpa mereka, kami cuba membantu semampu mungkin," ujarnya. 

 


Tag: