• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Dua Persatuan Anggota Keselamatan Terima Sumbangan RM20,000


Ahmad Razif menyampaikan duit raya kepada anak yatim. Foto Zulkifli C W Putra

Kerajaan negeri menyalurkan sumbangan RM20,000 kepada  dua persatuan anggota keselamatan negara di Terengganu sebagai menghargai dan mengenang jasa pihak itu yang banyak berkorban menjaga keselamatan negara.

Pasukan Gerakan Am (PGA) dan  Persatuan Kebajikan Isteri-isteri Polis (PERKEP) masing-masing menerima peruntukan RM10,000.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata dia berharap pihak persatuan menggunakan dana yang disalurkan itu sebaik mungkin, terutama untuk menjaga kebajikan ahli.

“Apa yang disalurkan itu juga bagi menghargai mereka yang banyak berkorban menjaga menjaga keselamatan negara, selain sanggup meninggalkan keluarga dalam tempoh lama kerana tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anggota PGA, di PGA Kubang Badak, Kuala Nerus, petang semalam.

Hadir sama, To’ Puan Seri Halina Zakaria dan Pegawai Pemerintah PGA 9, Superintenden Endut Mehad.

Pada Majlis itu, seramai 30 anak yatim Baitul Sakinah menerima sumbangan kuih raya dan  duit raya.


Ahmad Razif turut memberitahu, majlis tahunan yang diadakan itu bukan saja bagi meraikan anggota dan pesara PGA  malah bertujuan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara mereka.

“Kalau tidak kerana anggota-anggota PGA ini menjalankan tugas dengan baik, adalah mustahil  Malaysia diisytihar menjadi negara yang ke-29 teraman di dunia.


“Saya turut menghargai isteri anggota PGA kerana bukan mudah untuk menjadi seorang isteri kepada anggota keselamatan  kerana sering ditinggalkan suami untuk mempertahankan negara,”katanya.

Tag: