DUAT Ajak Pengunjung Pasar Payang Hayati Agama Sambil Beli Belah

KUALA TERENGGANU, 5 Februari- Program Santai Daei Pasar Payang yang julung kali diadakan di Laman Payang di sini adalah usaha Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) mendekati pengunjung pasar berkenaan sekali gus menyampaikan dakwah secara santai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi komitmen untuk melihat Pasar Payang sentiasa segar dan dikunjungi orang ramai.

“Tahniah kepada pihak DUAT atas penganjuran program yang bagus dan bermakna ini.

“Pengunjung yang datang dapat sama-sama menikmati persembahan ‘busking’, bual bicara dan juga diselit dengan nasihat-nasihat agama, sudah tentu selain membeli belah mereka dapat hiburkan hati dan mendapat sesuatu yang bermakna,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Daie Pasar Payang di Laman Payang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Shah berkata, kaedah menawan orang ramai mengikuti program keagamaan adalah dengan menyelami kegiatan mereka.

“Sebab itu program yang kita susun ini sebagai suatu perkara permulaan, bukan setakat berhibur (mematuhi syariah) tetapi dalam masa yang sama memberi manfaat lain kepada pengunjung.

“Kita cuba tarik lebih ramai ke Pasar Payang, jadikan sebagai lokasi untuk mereka datang membeli belah, berehat dan dapat faedah ilmu agama,” ujarnya.

Justeru katanya, pengunjung mahupun peniaga diharapkan terus memberikan sokongan kepada program Santai Daie Pasar Payang demi kebaikan bersama.

“Bukan kali pertama dan terakhir program ini diadakan di sini tetapi jika mendapat sokongan orang ramai ianya akan berterusan,” ujarnya.