• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

DUAT Terengganu Turun Dekati Masyarakat

KEMAMAN, 1 Oktober - Akademi Didik Ulama AMILIN Terengganu (DUAT) turun mendekati masyarakat dengan program-program yang dianjurkan termasuk program DUAT Bersama Komuniti Harmoni, semalam. 

Pengarah DUAT, Ustaz Ramlan Mahmood memanjat kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas limpah rahmat dan keizinan-Nya, program tersebut berjaya diadakan dalam suasana penuh ceria.

"Kami di Akademi DUAT sedang giat memperkasakan dan membentuk para pendakwah dan rakyat Terengganu dengan membawakan program-program dalam bermacam variasi kaedah dan uslub.

Seseorang pendakwah perlu mengetahui feqah dakwah yang berbeza pendekatannya dengan fekah hukum betul dan salah, halal dan haram," ujarnya.

Tegas beliau, tugas pendakwah itu lebih bertujuan menyelamatkan manusia bersama petunjuk Islam, termasuk terhadap umat Islam sendiri yang tenggelam dalam kejahilan agama yang diyakini dan disayanginya.

"Secara umumnya, penting bagi negeri darul iman ini untuk terus melahirkan modal insan yang seimbang yang memiliki penguasaan ilmu yang menyeluruh yang mana bakal menjadi pewaris kepada kepimpinan kerajaan negeri di masa hadapan," katanya lagi ketika berucap merasmikan program tersebut yang berlangsung di Dewan Sivik Kampung Gong Puh.

Program tersebut diserikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Pendakwah Bebas, Ustaz Aidiladha Tahir. Manakala, ianya turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai yang menyumbang beras dan barangan dapur kepada 100 orang fakir miskin. 

Program itu juga turut mendapat kerjasama oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Perumahan Gong Pauh, Kampung Gong Pauh, Kampung Jaya dan Jalan Dato'.


Tag: