• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

'Duit Yang Terengganu Tuntut Hak Rakyat'

KUALA TERENGGANU, 11 Mac - "Duit yang Terengganu tuntut ialah hak rakyat dari hasil petroleum dan bukan mengemis," ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim.

Beliau berkata istilah ‘royalti’ merupakan suatu istilah umum yang paling mudah difahami oleh masyarakat awam bagi maksud bayaran hasil minyak kepada negeri-negeri yang menjadi pengeluar minyak.

Katanya, Terengganu mula menerima royalti minyak dari 1978 sehinggalah royalti dirampas pada tahun 2000 ketika PAS mentadbir Terengganu. 

"Usul supaya tarik balik royalti diusulkan oleh Ketua Umno Bahagian Dungun dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 2000.

“Royalti bermakna bayaran tunai langsung sebanyak lima peratus dari hasil petroleum oleh Petronas terus ke dalam akaun kerajaan negeri sebanyak dua kali setahun, dilakukan pada bulan Mac dan September setiap tahun.

“Selepas tahun 2000, tiada lagi bayaran langsung oleh Petronas kepada kerajaan negeri dan Wang ehsan mula diperkenalkan.

"Selain itu, lima peratus yang sepatutnya diterima langsung oleh kerajaan negeri dari Petronas telah diambil oleh Kerajaan Pusat dan disalurkan kepada JPP dan agensi pusat lain," katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya semalam.

Tambah Dr Azman, sejak dari itu, tiada lagi penyaluran terus daripada Petronas kepada akaun negeri sebagaimana maksud royalti yang asal.

Menurutnya, apabila BN kembali memerintah Terengganu pada 2004, wang ehsan disalurkan kepada kerajaan negeri oleh Kementerian Kewangan (MOF) sama ada dalam bentuk tunai atau pun pelaksanaan projek. 

Antaranya, kos pembinaan LPT2 sebanyak RM1.8 bilion adalah menggunakan duit minyak hak Negeri Terengganu sehingga sekarang Kerajaan Pusat masih terhutang RM1.4 bilion kos pembinaan LPT2 kepada Kerajaan Terengganu. 

Malah katanya, duit minyak Terengganu juga digunakan untuk pelbagai projek pembangunan perumahan di negeri-negeri lain.

“Apabila PAS mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, bayaran hasil minyak kepada Terengganu dikenali sebagai ‘Wang Tunai Petroleum’ pada zaman Tun Mahathir sebagai PM, dengan dipotong 25 peratus sebagai bayaran hutang negeri kepada Pusat tinggalan kerajaan lepas sebanyak RM800 juta.

“Sebanyak RM600 juta bayaran hasil minyak Terengganu sempat dipotong oleh Kerajaan Pusat zaman Lim Guan Eng jadi MOF dan dalam masa yang sama, RM1.4 bilion hutang LPT2 Kerajaan Pusat kepada Terengganu masih tidak terusik,” jelasnya.

Jelas Dr Azman, apabila berlaku perubahan Kerajaan Pusat selepas 22 bulan PH memerintah, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi PM, bayaran hasil minyak kepada Terengganu dikenali sebagai ‘Dana Khas Kerajaan Persekutuan’ (DKKP). 

Tambahnya, bayaran diteruskan apabila Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih teraju pentadbiran negara.

“Selepas PRU15 pada November 2022, Kerajaan Pusat pimpinan PMX mentadbir negara iaitu pada Februari 2023, dalam pembentangan Belanjawan 2023 PMX menyatakan bahawa wang hasil minyak akan disalurkan kepada Terengganu setelah dipotong sebahagiannya untuk program basmi kemiskinan. 

“Berapa nak dipotong? Dalam pertemuan dengan MB Terengganu, PMX memaklumkan bahawa jumlah yang akan dipotong antara enam hingga tujuh peratus,” ujarnya.

Beliau berkata, potongan dibuat tanpa berunding dengan Kerajaan Terengganu untuk apa duit potongan itu akan dibelanjakan. 

“Itu pun suatu tindakan yang tidak menghormati semangat federalisme. Kerajaan Pusat boleh berunding dengan Sabah dan Sarawak tapi kenapa tidak dengan Terengganu?.

“Bulan Mac 2023 sepatutnya pembayaran royalti dibuat untuk separuh pertama tahun 2023 tapi tak dibuat.

“PMX janjikan pula bahawa royalti akan dibayar selepas Pilihan Raya Umum Negeri pada Ogos 2023 dan kita tunggu selepas PRU negeri, tetap juga tak dibayar,” katanya.

Jelasnya lagi, setiap bulan pihak kewangan negeri perlu memohon dengan Perbendaharaan Negara dengan mengemukakan pelbagai dokumen.

Antaranya, perlu dinyatakan apakah kegunaan wang yang dimohon seperti untuk bayaran gaji dan lain-lain. 

“Kita nak minta hak kita tapi perlu bagitahu nak buat apa dan setiap bulan dapatlah sekitar RM50 juta yang cukup untuk bayar gaji sedangkan hak Terengganu dari hasil minyak adalah sekitar RM1.5 hingga RM1.6 bilion setahun.

“Janji PMX nak potong enam hingga tujuh peratus sahaja, bakinya akan dibayar kepada Terengganu.

“Dengan penyaluran sekitar RM50 juta sebulan, tolak yang nak dipotong enam hingga tujuh peratus, kita boleh kira sendiri secara kasar berapa lagi wang hak Terengganu yang masih berbaki bagi tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga pernah menghantar pihak audit untuk memeriksa akaun kerajaan negeri tetapi tidak menjumpai apa-apa perbelanjaan wang yang menyalahi tatacara pengurusan kewangan.

Tambahnya lagi, kini sudah bulan Mac 2024, sepatutnya Terengganu menerima bayaran wang hasil minyak bagi separuh pertama tahun 2024.

“Persoalannya, apa yang PMX dapat dengan menafikan hak 1.2 juta rakyat Terengganu? Apakah rakyat Terengganu perlu dihukum?.

"Oleh kerana kesalahan kami tidak memilih PH/BN yang telah memberikan mereka angka sifar dalam pilihan raya umum dan pilihan raya negeri serta pilihan raya kecil? Hasil dikaut dari perut bumi Terengganu tapi penduduknya dizalimi.

“PMX pernah kata: 'Negeri yang berdegar-degar syarah! Gaji pun minta kat saya!',” katanya.

Dr Azman berkata, duit yang Terengganu tuntut ialah hak rakyat Terengganu daripada hasil petroleum dan bukan mengemis untuk bayar gaji Dato’ Seri PM. 

“Tak kisahlah sama ada atas nama royalti, Dana Khas Petroleum atau wang ehsan, yang penting hak rakyat Terengganu wajib disalurkan. 

“Dato’ Seri dulu ketika jadi pembangkang pernah janji nak bagi 20 peratus royalti tapi Terengganu tak tuntut pun 20 peratus. Hanya minta hak kami 5 peratus sahaja. 

Katanya, pelbagai pertemuan dan perbincangan telah dibuat oleh YAB MB Terengganu bersama PM tapi natijahnya masih sama.

“Dato’ Seri seorang pejuang hak rakyat dari zaman muda lagi maka, tak sayugia rakyat Terengganu didera hanya kerana kami membuat keputusan tidak memilih parti Dato’ Seri dalam PRU. 

“Dengan jiwa besar seorang negarawan, Dato’ Seri perlu hormati pilihan rakyat,” ujarnya.

 


Tag: