• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

DUN, Parlimen Jadi Institusi ‘Check And Balance’

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen adalah tempat membangkitkan sebarang isu atas apa-apa tindakan yang menjadi keputusan kerajaan.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Malaysia (LUHAM) cawangan Terengganu, Mohd Kamaruzaman Ab Wahab berkata, DUN dan Parlimen menjadi satu institusi ‘check and balance’ atau semak dan imbang kepada kuasa eksekutif.

"Dari sudut ini, DUN dan Parlimen (Dewan Rakyat) mengambil tempat untuk mempertanggungjawabkan tindakan kerajaan atas apa keputusan mereka. 

"Ini sebahagian besar supaya segala tindakan kerajaan ada 'check and balance' untuk memastikan kerajaan berjalan dengan baik dan segala keputusan kerajaan adalah keputusan yang baik untuk seluruh rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Merintis Keunggulan Legislatif Terengganu bersama Yang di-Pertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali di Paya Bunga Hotel, baru- baru ini.

Menurut Kamaruzaman, mengikut Perlembagaan Malaysia, undang-undang di negara ini mempunyai tiga kuasa besarnya.

Antaranya, pertama prinsip pembahagian kuasa eksekutif iaitu kuasa Perdana Menteri, kuasa Menteri Besar dan para Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri).

"Yang kedua dikenali legislatif iaitu kuasa perundangan ini diberi kepada Parlimen dan DUN manakala yang ketiga, badan kehakiman.

"Ini satu badan yang mana mengikut Perlembangaan, bebas campur tangan daripada badan-badan lain,” jelasnya.

Katanya, fungsi besar DUN dan Parlimen adalah menggubal, memperkenalkan, membatalkan ataupun meminda undang-undang yang ada. 

"Ini tugas Parlimen dan DUN yang mana ia melalui proses tertentu di mana adanya Pembentangan, ada Rang Undang-undang Perbahasan dan akhirnya lulus ataupun tidak. 

"Fungsi kedua adalah meluluskan perbelanjaaan kerajaan yang kita panggil Bajet (Belanjawan), kalau DUN ataupun Parlimen tak lulus maka kerajaan tidak boleh berbelanja,” tegasnya.

Menurutnya, Dewan Parlimen atau DUN ada kuasa bagi memecat Perdana Menteri atau Menteri Besar sekiranya, wujud undi tidak percaya.


Tag: