• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

DUN Sura Buka Kaunter Permohonan Bantuan i-Fitri

DUNGUN, 23 Mac - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura mengambil inisiatif membuka kaunter permohonan bantuan i-Fitri untuk memudahkan masyarakat setempat yang tiada kemudahan internet membuat permohonan.

Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera DUN Sura, Mohd Hanafiah Hitam berkata, pihaknya melihat kepentingan membuka kaunter perkhidmatan tersebut setelah mendapat aduan serta maklum balas awam.

"Kami meneliti keperluan untuk membuka kaunter permohonan ini berdasarkan maklum balas awam yang masih keliru tentang kaedah pelaksanaan serta prosedur yang betul membuat permohonan Bantuan i-Fitri ini yang perlu dilakukan secara maya", katanya kepada pemberita.

Mohd Hanafiah berkata, kaunter itu dibuka selama empat hari bermula hari ini dan dilakukan secara berpusat mengikut zon.

"Ia dibuka pada 23, 24 , 27 dan 28 Mac ini secara berpusat mengikut zon yang ditetapkan iaitu melibatkan 23 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK)

"Kesemua kaunter beroperasi bermula jam 9 pagi sehingga 12 tengahari  dan lokasinya adalah seperti yang ditetapkan mengikut zon," katanya.

Permohonan bantuan i-Fitri untuk seluruh rakyat Terengganu mula dibuka semalam (22 Mac).

Pemohon yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan boleh memohon melalui portal
https://ibantuan.terengganu.gov.my


Tag: