• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

DUN Telemong Mahu Ulangi Sejarah Manis PRU12



Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong akan mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mengulangi sejarah pada PRU12 sebagai DUN yang memenangi majoriti dengan undian terbanyak di Terengganu.

ADUN Telemong, Dato' Rozi Mamat berkata, pihaknya akan menjayakan hasrat dan visi mengekalkan atau menambah undi dengan mensasarkan 7,864 (PRU14), walaupun sasaran itu bukannya satu kerja yang mudah.

"Namun jika semua pihak kurangkan masalah, tingkatkan perpaduan antara satu sama lain ianya tidak mustahil dilaksanakan dan mencapai matlamat.

"Kenalah fokus, tidak kira siapa calon, semua pihak di cawangan perlu menggarapkan usaha bersama dan saya yakin serta percaya DUN Telemong tidak berganjak kepada parti lain selain BN tidak kira apa jua yang melanda," kata Rozi.

Kemenangan BN di DUN itu pada PRU14 katanya, bukan semata-mata diyakini, tetapi diharapkan mampu mengulangi sejarah PRU12 sebagai majoriti tertinggi di seluruh negara.



Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam & Penyampaian Hadiah Pertandingan PDM N21 Telemong di Dewan Sivik Kampung Kuala Pueh, semalam.

Rozi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu berkata, pihaknya optimis mampu mengekalkan sejarah yang tercipta itu dan tidak mustahil untuk mengekalkan kejayaan itu.

"Hanya cara ini dapat membalas jasa UMNO sekali gus memacu DUN Telemong ke arah yang lebih baik,"katanya.

Sementara itu, di majlis yang sama 16 buah Pusat Daerah Mengundi (PDM) diraikan sempena Pertandingan PDM N21 Telemong baru-baru ini.

Tempat pertama dimenangi oleh PDM Nibong yang membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai RM3,000, sijil penghargaan serta seekor lembu sumbangan peribadi ADUN.

Manakala tempat kedua PDM Kuala Dura menerima  wang tunai sebanyak RM2,000 dan sijil penghargaan, sementara tempat ketiga PDM Bukit Gemuruh pula mendapat wang tunai RM1,500 beserta sijil penghargaan.

Tempat keempat iaitu PDM Kuala Ping membawa pulang hadiah saguhati RM750 serta sijil penghargaan.

Tag: