• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

DUN Terengganu Mahu Bergerak Sebagaimana Peranan Parlimen

Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berharap badan legislatif negeri itu memiliki keupayaan sebagaimana Parlimen Malaysia dalam meningkatkan peranan ‘semak dan imbang’ untuk jangka panjang.

Yang Dipertuanya, Dato' Yahaya Ali berkata, beliau menyokong cadangan yang dibentangkan oleh Dato’ Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, antaranya penubuhan Jabatan Penyelidikan DUN.

“Berkait dengan usaha memberdaya institusi DUN supaya diperkasakan dengan menambah baik kertas kerja daripada Dato’ Speaker Kelantan sekurang-kurangnya perbincangan kita pada masa akan datang ini lebih terjurus dan fokus. Speaker negeri Sarawak diberi tugas untuk memimpin perbincangan ini،" jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN seluruh Malaysia tahun 2021 atas talian kelmarin.

Menurutnya, DUN Terengganu telah pun melaksanakan sebahagian daripada reformasi dan penambahbaikan dari segi penyebaran maklumat termasuk membangunkan dan mengemaskini laman sesawang rasmi serta pasukan media.

Terdahulu, dalam persidangan tersebut Yang Dipertua DUN Kelantan, Dato’ Haji Abdullah Yaakub telah mengemukakan kertas cadangan yang bertajuk 'Usaha-usaha Memberdaya Institusi Dewan Undangan Negeri'.

Beliau turut menyarankan perlunya program pendidikan institusi badan legislatif kepada masyarakat umum dan memperkukuhkan peranan pembangkang secara lebih efektif.

Justeru itu, beliau berterima kasih kepada Dewan Undangan Negeri Pahang yang menjadi tuan rumah pada tahun ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada DUN Pahang yang berjaya mengurus dan mengendalikan persidangan dengan begitu baik,” ujar Yahaya.

Mesyuarat yang diadakan secara atas talian dalam keadaan norma baharu itu dirasmikan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.