lightning-solid
Berita :
DUN Wakaf Mempelam Saji Sembilan Program Utama Menjelang Ramadan
DUN Wakaf Mempelam Saji Sembilan Program Utama Menjelang Ramadan
Khairul Faez Rosdi
19 jam yang lepas
57

KUALA TERENGGANU, 10 Februari – Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam akan menganjurkan sembilan program utama sepanjang bulan Ramadan tahun 2026 sebagai usaha berterusan menyantuni rakyat serta mengimarahkan bulan yang penuh keberkatan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelaksanaan aktiviti dan program sepanjang Ramadan kali ini pada asasnya mengekalkan pendekatan seperti tahun-tahun sebelumnya, namun ditambah baik dari segi penyusunan dan pengurusan agar lebih tersusun dan memberi impak yang lebih menyeluruh kepada masyarakat.

Menurut beliau, antara program yang dirancang ialah sumbangan awal Ramadan, agihan kurma dan takwim Ramadan kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), agihan makanan berbuka kepada perantau, sumbangan zakat kepada golongan asnaf, pembelian baju raya, program berbuka puasa di rumah rakyat, agihan lauk berbuka serta agihan kuih berbuka puasa.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri memaklumkan bahawa penganjuran program-program tersebut turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, agensi-agensi kerajaan serta syarikat swasta sebagai manifestasi keprihatinan bersama terhadap kebajikan rakyat.

WhatsApp Image 2026-02-10 at 16.36.10.jpeg 450.18 KB
Wan Sukairi berkata, Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. juga akan turut serta menyumbang dengan menyalurkan zakat kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar Kuala Terengganu, selain menganjurkan majlis berbuka puasa sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan dan tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut menjelang Ramadan ini.

Tambahnya lagi, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut bersetuju untuk memberikan tajaan bagi program berbuka puasa di rumah rakyat pada tahun ini. Malah, Pengurus Besar TNB Terengganu juga telah menyatakan persetujuan untuk hadir dan berbuka puasa bersama masyarakat setempat.

“Apabila beliau melihat sendiri saya bersama pasukan sebelum ini berbuka puasa di rumah rakyat, beliau tertarik dan teruja. Bahkan, terdapat juga individu yang berada di perantauan yang pernah saya temui sebelum ini tampil menawarkan sumbangan bagi membantu membiayai kos program berbuka puasa di rumah rakyat,” katanya.

Beliau berpesan bahawa bulan Ramadan merupakan medan terbaik untuk umat Islam berlumba-lumba melakukan kebaikan serta mengumpul pahala. Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat terus mengamalkan sikap saling bantu-membantu, khususnya dalam membantu golongan yang berada dalam kesusahan.

“Apabila kita mengetahui ada dalam kalangan masyarakat yang hidup serba kekurangan, maka menjadi tanggungjawab kita bersama untuk tampil membantu mereka,” jelasnya.

Wan Sukairi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kurma dan Takwim Ramadan yang berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam, baru-baru ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan rasa terima kasih atas keprihatinan serta kepekaan pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan bagi menjayakan program-program sepanjang Ramadan ini. 

Menurutnya, sehingga kini masih terdapat individu dan pihak tertentu yang menghubunginya untuk menawarkan sumbangan, dan semua bantuan yang diterima itu akan dimanfaatkan sepenuhnya demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.


Artikel Berkaitan