• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Dungun Boleh Menang Jika Tiada 'Cah Keting'-PM


Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meletakkan keyakinan tinggi bahawa Terengganu akan terus dipimpin oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) berdasarkan perkembangan semasa dan kerja kuat dalam kalangan pemimpin parti.

Katanya, kemenangan di Dungun juga boleh dicapai sekiranya ada perpaduan dalam kalangan pemimpin kawasan itu tanpa adanya ‘cah keting’ sesama pemimpin UMNO.

“Berdasarkan sokongan ramai hari ini, ianya meyakinkan saya bahawa BN boleh menang di Dungun ini.

“InsyaAllah kita boleh menang besar tetapi perlu kerja kuat dan bersatu padu,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Jom Bantu Rakyat peringkat negeri dan Majlis pecah Tanah Tapak Perumahan Idaman Rakyat SPNB Kampung Santong, Paka Dungun, petang tadi.



Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato’ Jailani Johari.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, barisan ecxo kerajaan negeri, Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Din Adam dan Ketua Eksekutif Kumpulan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Ahmad Azizi Ali.

Justeru, beliau menasihatkan supaya kepimpinan utama UMNO Dungun menjaga perpaduan jika mahu menakluki Parlimen Dungun dan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sura, Bukit Besi, Paka dan Rantau Abang.

“Jangan ‘peteh’, ‘cah keting’. Pastikan Anggota Jawatankuasa turun sampai ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan PDM turun kepada Ketua Cawangan, Ketua Cawangan pula turun kepada Ketua kampung.

“Semua perlu dalam satu pasukan sebab kita kena tubuh kerajaan yang kuat kerana kita mempunyai visi dan misi yang besar untuk negara,” kata Mohd Najib.

Tag: