• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

ECERDC Lahir 2,447 Usahawan Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) berjaya melahirkan 2,447 usahawan di bawah bimbingannya di Terengganu sejak 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, berkata melalui program ini, pihaknya membangunkan modal insan, terutama dalam golongan B40, penganggur, suri rumah yang berkelapangan dan mereka yang memerlukan bimbingan perniagaan.

"Kita menggabungkan elemen latihan dan bimbingan dengan memberikan pendedahan tentang pengetahuan teknikal, kemahiran pengurusan serta kemahiran berkaitan pemasaran digital bagi membantu mereka menjalankan perniagaan secara formal.

"Dalam masa yang sama pihak kami mewujudkan satu jalinan kerjasama dengan universiti setempat bagi memberi tunjuk ajar kepada peserta,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Latihan dan Penyerahan Kit Permulaan Perniagaan Program Pembangunan Usahawan Mikro Baharu Empower ECER, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Dalam majlis tersebut, seramai 450 peserta dari empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Setiu, menerima kit permulaan perniagaan bernilai RM1,500 dalam bentuk barangan.

Menurutnya, kesemua peserta tersebut akan diberi bimbingan berterusan dari peringkat memulakan perniagaan hingga ke pemasaran produk.

Tambahnya, ECERD juga menyasarkan pelaburan sehingga RM70 bilion, 120 ribu peluang pekerjaan dan 60 ribu peluang perniagaan di wilayah ini bermula 2018 hingga 2025.

"Tiga elemen penting menjadi tumpuan iaitu membawa masuk pelaburan, menjana peluang pekerjaan dan perniagaan di wilayah Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) di Kelantan,Terengganu, Pahang dan daerah Mersing, Johor," ujar beliau.

Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini berkata agenda kesejahteraan rakyat akan terus diperkukuhkan menerusi penyediaan fasilitasi serta kemudahan kepada usahawan dan bakal usahawan termasuklah mereka yang menjalankan perniagaan secara tidak formal.

"Pada tahun 2022, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta dibawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera
 (TUGAS) khusus bagi pengukuhan kepada usahawan mikro di Negeri Terengganu yang diuruskan dibawah Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).

"Kita juga telah memperuntukkan sejumlah RM2.0 juta bagi Program Tunas Usahawan khususnya kepada para belia. 

"Ini termasuk pelbagai aktiviti keusahawanan termasuklah latihan, promosi, penyediaan infra bimbingan berterusan terus dilaksanakan oleh agensi dibawah kerajaan negeri serta
agensi persekutuan di Negeri Terengganu," katanya.