• 14 Mei 2024 | 6 Zulkaedah 1445

ECRL: Patuhi Undang-undang Negara

MB (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk dalam Program Kayuhan 'Community Ride’ sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Yang Ke-212 di Dataran Pusat Pembangunan Komuniti E-Tani (PUKET) Batu Rakit.
KUALA NERUS, 28 April - Kerajaan negeri meminta semua pihak yang terlibat dengan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur atau 'East Coast Rail Link' (ECRL), mematuhi undang-undang negara yang sedia ada supaya projek itu berjalan dengan baik tanpa ada pertikaian dari segi pematuhan undang-undang.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri berkata, beliau percaya semua pematuhan kepada undang-undang perlu dilaksanakan termasuk apa-apa syarat kelulusan pembinaan dan sebagainya.

"Jadi mana-mana pihak tidak boleh melupakan dari segi aspek undang-undang," katanya ketika ditanya pemberita selepas merasmikan Program Kayuhan 'Community Ride’ sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Yang Ke-212 di Dataran Pusat Pembangunan Komuniti E-Tani (PUKET) Batu Rakit, di sini semalam.

Mengulas lanjut mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) itu beliau berkata, ianya adalah perkongsian kerjasama pembinaan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd.

"Semua itu dari segi pembinaan dan perkara berkaitan dengannya. Ada pun hal yang bersangkutan dengan tanah dan yang berkaitan dengannya, itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Tidak ada mana-mana pihak di pihak pembinaan itu sama ada MRL ataupun CCC boleh mengambil bahan-bahan galian di negeri Terengganu," tegas beliau.

Secara keseluruhannya kata beliau pembinaan berskala besar itu, dengan kedua-dua belah pihak perlu mematuhi segala aspek perundangan yang ada dalam negara dan negeri Terengganu.

"Ini termasuk dari segi undang-undang boroh dan perkara-perkara lain yang terlibat dengan soal teknikal," katanya.

Sebagai makluman, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) adalah entiti Kementerian Kewangan (MOF Inc) Malaysia yang mentadbir projek tersebut.

MRL akan memainkan peranan penting dalam melibatkan pihak berkepentingan ECRL, termasuk Kerajaan Malaysia, kontraktor, rakan kongsi, dan komuniti yang lebih luas di Malaysia.

MRL adalah pemilik projek ECRL - sebuah projek kereta api elektrik yang dirancang Kerajaan Malaysia yang menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang) ke Lembah Klang, manakala CCC adalah sebuah syarikat gergasi dari China.

Sementara itu ECRL rangkaian landasan keretapi yang menghubungkan ibu negara, pusat bandar utama, hub industri, pelabuhan, lapangan terbang, dan zon pelancongan dan bertukar-tukar dengan laluan kereta api sedia ada di Semenanjung Malaysia.

ECRL adalah sebahagian daripada Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dirancang bertujuan untuk mencapai pertumbuhan dan pembangunan yang adil di antara Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia.

Tag: