lightning-solid
Berita :
Ekspedisi Berembun Perkukuhkan Ukhwah. Semarakkan Ekopelancongan Negeri
Ekspedisi Berembun Perkukuhkan Ukhwah. Semarakkan Ekopelancongan Negeri
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
15 jam yang lepas
42

KEMAMAN, 30 Julai - Ekspedisi pendakian Gunung Berembun Chemerong Berembun Langsir (CBL) menjadi platform memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan peserta selain memberi peluang meneroka keindahan alam semula jadi yang menjadi antara tarikan ekopelancongan negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, Gunung Berembun CBL mempunyai nilai istimewa menerusi keunikan biodiversiti serta keindahan alam yang perlu dipelihara sebagai khazanah negeri.

“Gunung Berembun ini kaya dengan keindahan alam sekitar. Di atas puncak terdapat banyak pokok bonsai semula jadi yang sangat unik dan menjadi daya tarikan kepada pendaki.

“Kita tidak tahu sampai bila pokok-pokok ini dapat bertahan sekiranya tidak dijaga dengan baik. Oleh itu, pihak kerajaan akan memainkan peranan penting dalam memastikan khazanah alam negeri terus dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyertai ekspedisi pendakian Gunung Berembun Chemerong Berembun Langsir (CBL) di Dungun, baru-baru ini.

Ekspedisi berkenaan membawa peserta menyusuri laluan mencabar dengan pemandangan hutan tropika yang menakjubkan, termasuk beberapa lokasi ikonik seperti Bukit Taubat, Pokok Meraga, Bukit Celcom dan Bukit Berembun Kecil.

Jelasnya, usaha pemeliharaan kawasan hutan dan khazanah alam perlu dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama semua pihak agar keindahan Gunung Berembun CBL dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Program tersebut melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk wakil media perdana, agensi kerajaan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi berkaitan.




Tag :

Artikel Berkaitan