• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

EKSPO TERENGGANU 2018 : Pendapatan RM10,000 Sebulan Ternak Ikan Sangkar



Bermula sebagai pekerja kilang kelapa sawit, kini Fauzi Idris, 43, mampu tersenyum lebar apabila meraih pendapatan mencecah RM10,000 sebulan hasil Projek Ternakan Ikan Dalam Sangkar Sungai Como, Tasik Kenyir.

Berasal dari Kampung Tapah, Hulu Terengganu, Fauzi bermula dengan empat sangkar pada tahun 2007 dan kini memiliki 60 sangkar ikan di samping dua kiosk jualan ikan sejuk beku dan salai di Sungai Gawi, Tasik Kenyir serta di Paka, Dungun.

Dia berjaya membuktikannya dalam tempoh 10 tahun sahaja untuk keluar daripada belenggu kemiskinan dan diiktiraf sebagai antara peserta contoh program tersebut.

"Kalau dulu semasa kerja kilang saya cuma dapat gaji yang kecil iaitu RM900 sebulan  dan saya bermula dalam program ni secara berkelompok dengan peserta yang lain.

"Alhamdulillah, kini sangkar meningkat daripada empat kepada 60 dan antara spesies ikan adalah baung, tilapia, lampan serta keli,"katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis pemberian dividen kepada 40 peserta program itu di Dataran Shahbandar sempena Ekpo Terengganu 2018 di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, hari ini.

Sumbangan dividen disampaikan oleh Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Zainal Abidin Mohamad.

Tambahnya lagi, dengan bantuan dan bimbingan Jabatan Perikanan, dia memberanikan diri membuka kiosk jualan berikutan terdapat permintaan dalam pasaran.

Projek itu merupakan sebahagian daripada Program Projek Berimpak Besar dan Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Januari 2007.

Kini projek tersebut telah berjaya menghasilkan 150 tan metrik ikan pelbagai spesis dengan nilai RM4.4 juta setiap tahun.


Tag: